Sejak Salah sertai Liverpool, percanggahan masyarakat British & Islam semakin berkurangan, ini sebabnya

Sejak Salah sertai Liverpool, percanggahan masyarakat British & Islam semakin berkurangan, ini sebabnya

 

Sejak Mo Salah bermain dengan Liverpool, percanggahan antara norma masyarakat British dan Islam semakin berkurangan — menandakan persepsi terhadap Islam dalam kalangan warga Liverpool semakin baik. Kebencian, prejudis dan ketakutan terhadap Islam pun menurun.

Apa sebabnya?

1. Pertama sekali sebab media seringg menggambarkan Salah dengan nada yang positif. Pendedahan positif Mo Salah yang berterusan oleh media menjadikan peminat Liverpool FC memandang Islam hal yang positif. Media memainkan peranan sangat penting.

2. Disebabkan identiti Islam yang kuat pada diri Mo Salah (Salah menunjukkan dirinya seorang muslim kerana kelihatan sering bersujud dan berdoa) menjadikan tahap Islamofobia semakin menurun. Amnya, kalau Salah tidak tunjukkan bahawa dirinya Muslim, persepsi terhadap Islam tidak berubah.

3. Sekali lagi, penyelidik menekankan gambaran media terhadap sesuatu yang menjadikan golongan atau identiti tertentu mendapat persepsi yang baik. Dalam hal ini, Islam mendapat persepsi yang baik kerana media gambarkan hal yang positif terhadap Salah.

4. Salah mendapat gambaran dan pendedahan positif oleh media kerana bermain bola sepak dengan baik. Kalau beliau tidak bermain dengan baik, tamparannya mungkin buruk terhadap identiti yang beliau bawa seperti yang berlaku pada pemain lain iaitu Mesut Ozil dan Romelu Lukaku yang pernah mencalarkan identiti masing-masing.

5. Mo Salah juga mendapat gambaran positif oleh media kerana jarang mengulas dan menyebelahi mana-mana isu politik ataupun isu keadilan sosial. Mengutaran pendapat dalam suatu isu akan berikan gambaran buruk oleh sesetengah media, tuntas memberikan persepsi buruk terhadap identiti oleh sesetengah peminat.

6. Akhir sekali, Salah mempunyai hubungan baik dengan pemain British dan perkara ini memberikan kesan terhadap persepsi ke atas identiti yang dibawa oleh Salah.

Daripada kajian ini, banyak kali penyelidik tekankan peranan media yang mempengaruhi persepsi masyarakat. Baik gambaran media, baiklah persepsi orang terhadap batang tubuh individu dan identiti yang dibawa. Sebaliknya, batang tubuh buruk, identiti pun dipandang buruk.

Selain itu, kajian ini memberikan kita refleksi, apabila kita ke mana-mana, kita akan bawa identiti bangsa & agama. Kalau baik tingkah laku kita, kita bagi nama baik kepada keluarga, bangsa & agama. Salah tunjukkan kelakuan yang baik, identiti Islam pun terpalit dapat nama baik.

Sebab itulah dakwah yang terbaik adalah akhlak. Apa yang kita buat, bagaimana kita melayan orang, bagaimana reaksi kita terhadap sesuatu, serba sedikit memberikan persepsi terhadap identiti yang kita bawa.

Selain itu, kalau kita berjaya dalam apa-apa bidang yang kita ceburi pun, pergi Bulan ke, dapat Hadiah Nobel ke, dapat masuk ke universiti berprestij ke, hal-hal ini pun bagi nama baik kepada identiti yang kita bawa. Perkara yang sama berlaku kepada Mo Salah. Kejayaan dalam bola sepak, bagi nama baik pada Islam.

Kalau ikutkan, persepsi Islam nampak baik bukan kerana Mo Salah tunjukkan nilai akhlak Islam, tetapi kerana beliau tiada kontroversi, bermain dengan baik, tuntas media gambarkannya dengan positif. Nama Islam terpalit baik kerana Salah tunjukkan identitinya yang kuat sebagai seorang Muslim.

Kadangkala, ada Muslim yang berjaya, tetapi identiti Islamnya tidak begitu kuat dan tidak menonjol. Jadi apabila dia dapat nama baik, identiti yang dia bawa seperti Islam tidak terpalit kebaikan dan prestij yang sama.

Rujukan:

Marble, W., Mousa, S., & Siegel, A. A. (2021). Can Exposure to Celebrities Reduce Prejudice? The Effect of Mohamed Salah on Islamophobic Behaviors and Attitudes. American Political Science Review, 1-18.

Zamir Mohyedin
19 Oktober 2021