Sejak pandemik Covid-19, jenayah penipuan meningkat di Perak

Sejak pandemik Covid-19, jenayah penipuan meningkat di Perak

Ketika jenayah kekerasan seperti rompak dan curi di Perak menurun sekitar 30 peratus jenayah sejak pandemik COVID-19, jenayah penipuan pula mencatatkan peningkatan.

Malah, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, terdapat beberapa individu mengalami kerugian sehingga dua juta ringgit kerana diperdayakan suspek melalui beberapa penipuan seperti Macau Scam, Love Scam dan Parcel Scam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai, termasuk bijak pandai dalam bidang perniagaan supaya lebih berwaspada dan berhati-hati sebelum membuat pelaburan.

“Jika kita hendak buat pelaburan, sila pastikan bahawa syarikat ini betul-betul wujud serta sah dan jangan percaya sangat dengan syarikat pelaburan atas talian ataupun melalui kenalan hanya di laman sosial sahaja.

“Dalam kes ini (di Taiping) kalau kita lihat mangsa dengan penipu dia langsung tidak pernah bertemu muka pun.

“Mangsa juga merupakan seorang yang mempunyai pengalaman lama dalam bidang perniagaan. Selepas berkenalan melalui laman sosial, dia telah buat semakan di Google, di surat khabar, majalah dan dia dapati syarikat yang dinamakan itu wujud dan dia pun percaya,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyertai program derma darah di Mess Pegawai Polis di sini, hari ini.

Pada Selasa, polis Perak mengumumkan kejayaan menumpaskan sindiket Macau Scam melibatkan kerugian kira-kira RM11 juta.

Pada hari yang sama, seorang pesara membuat laporan yang mendakwa kerugian hampir RM1.2 juta, diperdaya pelaburan emas yang tidak wujud selepas berurusan melalui satu aplikasi ‘dating’.

Goh berkata, siasatan masih dijalankan dan jika perlu pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada pihak polis negara jiran bagi membantu siasatan.

Sumber: Suara Perak