“Sebelum aku lobangkan baju..” – Ozlyn dedah tak boleh sentuh seterika, tugas gosok baju serah pada Johan
Pelakon Ozlynn meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan sering membantunya melakukan kerja-kerja rumah lebih-lebih lagi dalam tugas menggosok pakaian.
Akui trauma dengan kejadian menggosok baju sehingga terbakar, Ozlynn boleh menarik nafas lega kerana tugas itu kini diambil alih oleh Johan.
“Siapa macam saya risau nak gosok baju? Saya pernah gosokkan baju mak, tak tahu apa yang salah sehingga berlubang baju sutera itu.
“Jadi, saya fobia sampai sekarang.
“Memang kalau pergi mana-mana tanpa pembantu, dia (Johan) yang akan tolong gosok baju saya,” katanya.
Sebelum mereka mendirikan rumah tangga, hal tersebut telah diberitahu kepada Johan dan dibincangkan bersama-sama.
“Memang kami sudah bincang hal ini sejak dulu lagi, sebelum saya lubangkan baju-baju yang sedia elok, lebih baik dia yang gosok.
“Sampai sekarang memang Johan yang akan gosok semua baju,” jelasnya.
Perkara tersebut dikongsikan menerusi sebuah video di laman Instagram miliknya.
Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Rozlinawaty Ismail itu mendedahkan sejak kecil lagi sehinggalah dia remaja, bapanya yang melakukan kerja-kerja menggosok baju tersebut.
“Keluarga saya tidak pandai gosok baju sebab dari kecil abah yang buat semua selain turut mencuci baju serta kasut sekolah kami.
“Abah bekerja sebagai anggota beruniform, jadi dia sangat cerewet dan cukup teliti apabila gosok baju.
“Kesannya, semua anak-anak tidak tahu gosok baju,” ujarnya.