Scammer menyamar jadi YPD Majlis Perbandaran Manjung
“Jangan layan sekiranya terima mesej dari nombor yang menggunakan gambar saya sebagai profil dan mahu meminjam wang kerana itu adalah scammer,” kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh.
Beliau berkata demikian sebagai respons apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan gambarnya bersama isteri sebagai profil di aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, individu terbabit menghantar mesej kepada kenalannya untuk meminjam sejumlah wang dengan alasan untuk pembayaran perabot di sebuah premis.
Katanya, beliau menyedari perkara itu semalam, selepas dihubungi seorang kenalannya yang menerima mesej daripada individu itu.
“Individu itu menggunakan gambar sama di profil Facebook saya dan itu membimbangkan saya jika ada kenalan percaya mesej itu daripada saya.
“Ada dua rakan mendapat mesej itu tetapi mereka tidak membuat transaksi dan terus menghubungi saya untuk kepastian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Syamsul Hazeman berkata, kejadian itu adalah yang ketiga berlaku dan sebelum ini dia sudah melalui perkara sama pada 2019 dan tahun lalu.
“Scammer yang menggunakan gambar saya akan menyasarkan ahli majlis MPM untuk meminjam wang sejak 2019. Saya akan membuat laporan di Balai Polis Manjung pagi ini,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya turut mengalami perkara sama apabila ada pihak menyamar sebagai beliau untuk meminjam wang.
Gambar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rungkup itu dijadikan profil dengan nombor telefon sebenarnya turut diletakkan sebagai nombor kedua di aplikasi itu.
Semalam media melaporkan, Majlis Bandaraya Bersejarah (MBMB) meminta orang ramai tidak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai Datuk Bandar menerusi aplikasi WhatsApp.
Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu dalam kenyataannya dilaporkan melahirkan rasa kesal apabila gambarnya dimanipulasi sebagai gambar profil oleh pemilik telefon tidak bertanggungjawab. – HM