‘Scammer’ menyamar Exco Perak
“Saya kecewa dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar menjadi saya untuk meminjam wang,” kata Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Menurutnya, beliau hanya menyedari perkara itu semalam, selepas dihubungi seorang kenalannya yang menerima mesej daripada individu terbabit di aplikasi WhatsApp.
Katanya, kenalannya itu sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bercham, Ipoh untuk tindakan lanjut dan beliau dimaklumkan ada 20 laporan berkaitan nombor telefon berkenaan.
“Nombor telefon itu bukan milik saya tetapi dia menggunakan gambar saya sebagai profil dan turut meletakkan nombor sebenar saya sebagai nombor kedua di aplikasi itu.
“Saya terkejut apabila diberitahu mengenai perkara itu. Ada lima rakan mendapat mesej sama daripada scammer itu dengan dua daripada mereka hampir mahu membuat transaksi tetapi mereka terus menghubungi saya dahulu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau juga memuat naik penjelasan menafikan perkara itu di Facebook miliknya.
Menurutnya, tindakan individu itu yang menggunakan gambar dan namanya untuk kegiatan itu mencemarkan imej beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rungkup dan pemimpin negeri.
“Lebih membuatkan saya kesal apabila individu itu juga menjanjikan projek berkaitan belia dan sukan sekiranya mereka memberi pinjaman wang itu.
“Saya berharap tiada lagi yang tertipu dengan individu yang tidak bertanggungjawab ini dan semua masyarakat juga diminta berhati-hati,” katanya. – HM