“Saya tapau makanan & teh ais je” – Didakwa ada kaitan dengan kes Zayn Rayyan, lelaki berkopiah tampil bersuara

“Saya tapau makanan & teh ais je” – Didakwa ada kaitan dengan kes Zayn Rayyan, lelaki berkopiah tampil bersuara

 

Lelaki berkopiah perjelas kemunculannya di Apartment Idaman, Damansara yang kini hangat bagi tujuan siasatan kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan.

Kehadiran seorang lelaki berkopiah berkenaan sambil mengagihkan makanan dan minuman kepada petugas media di apartment berkenaan pada tengah hari Isnin sememangnya mencuri perhatian ramai.

Kemunculan lelaki berkenaan telah membuatkan warganet membuat spekulasi dengan mendakwanya mencurigakan dengan mengaitkan dia sebagai individu mempunyai kaitan dengan kes kanak-kanak berkenaan.

Walau bagaimanapun, lelaki berkenaan dikenali sebagai Azmi,50, tampil memberi penjelasan dengan mengatakan dia tinggal di taman perumahan berhampiran apartment Zayn Rayyan.

Malah, tujuannya datang ke situ adalah untuk memberi makanan dan minuman kepada pengamal media yang bertugas du lokasi kejadian.

“Korang ni. Itu saya. Saya tinggal di perumahan bersebelahan ni je. 

“Saya tapau makanan dan teh ais je,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan mStar online, dia yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan berkata dia sedar dengan komen berbaur tuduhan dilemparkan kepadanya.

Namun, menganggapnya sebagai gurauan daripada netizen.

“Tadi (semalam), saya tengok siaran langsung liputan kes itu. Ada media sebut mereka belum makan. Jadi saya terus tapau makanan dan minuman, saya hantar dengan motor ke apartment tu.

“Selepas kisah saya agih makanan tular, saya ada perasan juga komen-komen netizen.  Saya gelak saja tak ambil hati pun. 

“Saya tak marah sebab saya faham netizen mana-mana negara pun macam tu. Lagi pun saya ni duduk di taman perumahan bersebelahan apartment Zayn Rayyan. Tadi (semalam) pun saya cuma kesiankan media.

“Mereka nak lari daripada tugas pun payah, takut terlepas berita.  Sebab tu saya agih makanan,” katanya.

Dia bagaimanapun menasihati warganet agar tidak lebih-lebih dalam meninggalkan sebarang komen dan seharusnya membiarkan pihak polis menjalankan tugas menangkap pelaku.

Azmi juga berharap pelaku yang menyebabkan kematian kanak-kanak berusia 6 tahun itu segera ditangkap dan diberikan hukuman sekeras-kerasnya.

Menurut Azmi yang bertugas di Taiping, Perak, dia dan isteri yang turut mengusahakan taska di Damansara Damai turut terkesan dengan kes pembunuhan kejam Zayn Rayyan.

Pada 10 Jun, ibu Zayn Rayyan telah dibawa ke kediaman di Blok R Apartment Idaman untuk melakonkan semula aksi kejadian. Pasangan suami isteri itu kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai.