“Saya takut nak beritahu sudah bertudung sepenuhnya” – Nora Danish
Pelakon Nora Danish mohon doa kekal istiqamah buat dirinya untuk terus berhijab sepenuhnya.
Aktres berusia 42 tahun itu berkata, dia sudah lama memasang niat untuk tampil berhijab, namun belum mempunyai kekuatan sebelum ini.
Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif berkata, dia takut untuk memberitahu mengenai perubahan tersebut kerana bimbang akan ujian pada masa akan datang.
Pun begitu, Nora mengakui dirinya berasa lebih tenang dan selesa selepas tampil berhijab sepenuhnya.
“Saya rasa lebih tenang dan selesa dengan imej sekarang (bertudung).
“Saya takut nak beritahu sudah bertudung sepenuhnya, sebab saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada ujian dan dugaan Allah SWT,” katanya.
Mengulas mengenai dirinya yang kerap berkongsi foto bertudung di media sosial, Nora bagaimanapun memilih untuk tidak mengesahkan perkara itu.
Dia sebaliknya memohon orang ramai agar mendoakan yang terbaik.
“Doakan saya kekal istiqamah dengan imej terbaharu ini.
“Apa yang mampu saya kongsikan, doakan yang baik-baik dan semoga perubahan ini memberi kemanisan dalam hidup saya,” katanya lagi.
Tambah Nora, keputusan berhijab itu dibuat atas kehendaknya sendiri dan bukan paksaan daripada mana-mana pihak.
“Saya buat keputusan ini tanpa desakan atau paksaan sesiapa. Saya sendiri yang memilih untuk berhijab kerana usia saya pun bukan muda lagi.
“Saya percaya setiap wanita yang belum berhijab pun pasti ada keinginan yang sama.
“Apapun terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan saya,” ujar Nora Danish.
Terdahulu, Nora kerap memuat naik foto berhijab di Instagram sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warganet.
Dia juga pernah menjelaskan tujuannya menutup aurat pada ketika menjaga bekas suami, Nedim Nazri di hospital bagi memudahkan urusan mengerjakan solat dan mengaji bila tiba waktunya.