“Saya suka cerita Doraemon” – Syasya terpikat dengan suami sebab muka macam Nobita

“Saya suka cerita Doraemon” – Syasya terpikat dengan suami sebab muka macam Nobita

 

Bekas anggota Dolla, Syasya Rizal, 23, menganggap sudah tiba masa sesuai untuk mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Nasrullah Mohd Sapie, 23, yang juga kawan kepada abangnya selepas merancang ke arah itu sejak hujung tahun lalu.

Biarpun karier seninya mula memuncak, Syasya atau nama sebenar, Norsyasya Afiqah Shahrizal berkata, dia percaya pasti ada rezeki lain yang sudah ditetapkan, selain mahu memberi tumpuan menamatkan pengajian dalam peringkat ijazah sarjana muda.

“Saya rasa inilah masa yang sesuai untuk mulakan hidup baharu. Kalau rezeki sebagai penyanyi setakat itu, maka setakat itulah. Tapi, kita tak tahu rezeki pada masa akan datang.

“Buat masa sekarang, saya tiada apa-apa perancangan sebab saya hendak tumpukan perhatian kepada pengajian. Selepas ini kalau ada rezeki dan masa, Insya-Allah. Itu memang sudah dalam darah daging saya (bidang nyanyian).

“Dalam soal perkahwinan ini, kami sudah berbincang bersama dan kedua keluarga juga bersetuju. Jadi, kami buat keputusan ini,” katanya ditemui pada majlis resepsi Syasya dan Nasrullah di Magica Subang Hall.

Mengulas keputusan berundur daripada Dolla, Syasya mengakui, itu satu keputusan sukar buatnya, namun dia bersama anggota lain iaitu Sabronzo, Tabby dan Angel masih mengekalkan hubungan baik serta saling berkomunikasi.

“Memang berat juga sebab saya dan Dolla rapat seperti adik-beradik. Alhamdulillah, Dolla terima keputusan saya. Kami selalu berbincang, akan sokong sesiapa sahaja dalam Dolla yang ada rancangan untuk masa hadapan dan kehidupan.

“Lama juga selepas beberapa kali perbincangan, saya rasa inilah keputusan terbaik untuk hidup saya. Mereka sudah tahu beberapa bulan sebelum saya tarik diri.

“Kami berkomunikasi seperti biasa dan rapat. Saya tahu kerja mereka juga. Jadi, saya faham ketiadaan mereka hari ini,” katanya.

Pada masa sama, Syasya memberitahu, antara sebab dirinya memilih Nasrullah untuk dijadikan teman hidup disebabkan jejaka itu mempunyai wajah seakan-akan watak Nobita dalam siri animasi kegemarannya iaitu Doraemon.

“Itu salah satu sebab saya tertarik dengan suami sebab saya suka Doraemon. Jadi, setiap kali saya tengok suami akan teringat Doraemon.

“Nasrullah kawan abang saya dan selalu lepak bersama. Dari situlah, saya selalu berjumpa dengan suami. Kami banyak persamaan dan perbezaan yang membuatkan saya tertarik dengan Nasrullah,” katanya.

Sementara itu, Nasrullah berkata, sebagai suami dirinya tidak menghalang sekiranya Syasya mahu bekerja, namun merasakan lebih baik jika isterinya menjadi suri rumah.

“Untuk hal kerja, saya sebagai suami amatlah mengalu-alukannya. Tapi, sebaiknya Syasya adalah suri rumah sepenuh masa. Berkenaan bidang seni, kalau ada rezeki pada masa depan insya-Allah.

“Buat masa ini, mungkin kami akan buat hal sendiri dahulu. Perancangan kami mungkin ke arah lain tapi mungkin bukan dalam dunia hiburan, tapi bidang lain,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, Dolla membuat kejutan apabila mengumumkan pengunduran Syasya menerusi hantaran di akaun rasmi mereka hingga ramai peminat kecewa.

Syasya kemudiannya bergelar isteri kepada Nasrullah pada 20 April lalu.