“Saya rasa bersalah abaikan ayah” – Zarina Zainuddin terkilan, akui perceraian ibu bapa punca hubungan anak renggang

“Saya rasa bersalah abaikan ayah” – Zarina Zainuddin terkilan, akui perceraian ibu bapa punca hubungan anak renggang

 

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Tanyalah kepada mana-mana pasangan ibu bapa, tentu saja semuanya sanggup melakukan apa saja demi cahaya mata tercinta.

Sanggup berkorban nyawa, masa, tenaga dan wang dalam membesarkan anak tersayang, penat lelah ditolak ke tepi asalkan anak dapat membesar dengan sebaiknya.

Ada yang sanggup berlapar asalkan anak cukup makan, ada pula yang rela menyarung pakaian lusuh demi mengumpul wang membelikan keperluan anak.

Ternyata pengorbanan setiap ibu bapa perlu dikenang, walaupun tidak mengharapkan sebarang balasan, tanggungjawab sebagai anak perlu digalas sebaik mungkin terutama apabila anak meningkat dewasa.

Namun sesebuah institusi kekeluargaan sering dikatakan goyah setelah berlakunya penceraiaan.

Bagi pasangan yang memiliki anak, perceraian sepatutnya bukan tiket untuk bermusuhan.

Ini kerana mereka masih perlu kekalkan hubungan baik walaupun tidak sehaluan demi membesarkan dan menjaga emosi anak.

Sebagai contoh, pelakon Zarina Zainuddin tidak dapat menahan rasa sedih sewaktu berkongsi rasa terkilan terhadap arwah bapanya yang meninggal dunia pada petang semalam akibat menderita penyakit kanser prostat tahap empat.

Menurut Murai, menerusi video yang dikongsikan Zarina atau nama lengkapnya Nur Zarina Mohd Zainuddin dalam Instagram miliknya, pelakon itu mengakui berasa bersalah kerana telah mengabaikan arwah bapanya selama ini.

“Tak dapat beraya dengan ayah tahun ini. Saya memang rasa bersalah sebab saya tahu, saya abaikan ayah saya.

“Sebab itulah, jangan ada perceraian dalam hidup, jangan bercerai. Walau apa pun, pertahankanlah rumah tangga. Sebab bila bercerai, anak-anak jadi mangsa. Bila bercerai, anak-anak akan rapat dengan orang yang menjaganya sahaja.

“Orang yang ditinggalkan, dia tidak akan rasa perasaan yang sama. Saya tidak tahu hendak terangkan bagaimana. Tapi inilah kehidupan. Setiap orang ada pengalamannya dan ujian tersendiri,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Biarpun sedih, Zarina tetap reda dengan pemergian arwah bapanya, daripada terus menderita menanggung sakit yang dialaminya.

“Saya reda ayah pergi (meninggal dunia) sebab lebih baik dia pergi daripada sakit. Dah tinggal tulang, tak ada isi. Nak makan pun tak boleh.

“Biarlah Allah SWT ambil dia. Cuma saya terkilan, tidak dapat buat apa yang sepatutnya saya buat sebab ayah tidak mahu tinggal dengan saya,” katanya.

Jelas Zarina, dia pernah memujuk arwah bapanya beberapa minggu lalu untuk tinggal bersama di Kuala Lumpur, namun bapanya enggan kerana mahu menetap di kediaman sendiri di Negeri Sembilan.