“Saya niatkan ia menjadi sedekah”

“Saya niatkan ia menjadi sedekah”

“Saya niatkan ia menjadi sedekah,” kata Salmah Hashim, 73, yang kerugian RM4,000 selepas beg tangannya diragut dalam kejadian di Jalan Serindit, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, di sini Isnin lalu.

Wanita warga emas itu berkata, dia reda dengan ketentuan itu biarpun wang itu baharu dikeluarkan dari sebuah bank untuk dihadiahkan kepada dua cucunya termasuk seorang yang baru lahir.

“Pada asalnya memang saya ingin beri duit itu kepada mereka (cucu) namun sekarang duit sudah tiada, tidak mengapalah.

“Saya kata kepada suami, duit itu kita niat sedekah saja, sebab kita tak tahu nasib kita akan datang bagaimana,” katanya selepas menerima lawatan prihatin Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz hari ini di kediamannya yang terletak berdekatan lokasi kejadian.

Lawatan itu turut membabitkan penyerahan sumbangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kepada pasangan warga emas terbabit.

Dalam kejadian Isnin lalu, Salmah bersama suaminya, Sa Ismail Kulop Ya Bidin, 77, dikatakan pulang dengan menunggang motosikal dari kedai berhampiran kira jam 12.30 tengah hari sebelum motosikal ditunggang suspek menghampiri seterusnya melarikan beg wanita itu.

Bagaimanapun kedua-dua warga emas itu tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, A Asmadi berkata, suspek sudah berjaya diberkas di sebuah stesen minyak di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, kira-kira jam 7 petang semalam hasil maklumat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 20 tahun itu mempunyai 10 rekod lampau iaitu enam berkaitan jenayah dan empat berkaitan dadah selain menggunakan wang disamun itu untuk membeli dadah dan membelanja rakannya.

Katanya, suspek yang bekerja di kedai perkakasan itu juga menggunakan motosikal Yamaha LC dipinjam daripada rakannya ketika melakukan jenayah itu.

“Suspek direman enam hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan khususnya mengenai pembabitannya atau kaitan dengan kes (jenayah) lain yang sedang disiasat IPD Ipoh dan kawasan sekitar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya. – HM