“Saya kurang cerdik..” – Akui kekhilafan, wanita mengaku kerja kerajaan pakai kabel tampil mohon maaf

“Saya kurang cerdik..” – Akui kekhilafan, wanita mengaku kerja kerajaan pakai kabel tampil mohon maaf

 

Seorang wanita membuat permohonan maaf selepas berkongsi video menceritakan pengalamannya menikmati waktu rehat selama 3 jam dan mempunyai ‘orang dalam’ ketika bekerja di sektor awam

Membuat penjelasan menerusi akaun TikTok, katanya, video menunjukkan dia berehat sekitar tiga jam tersebut dikongsi sekadar suka-suka untuk menceritakan tentang pekerjaannya.

Malah, dia tidak lagi bekerja di syarikat tersebut memandangkan perkhidmatannya sebagai pekerja kontrak sudah tamat pada September tahun lalu.

“Berkenaan dengan waktu rehat, saya tidak bermaksud rehat selama tiga jam. Cuma anggaran kasar sahaja. Lebih tepat lagi waktu rehat kami setiap hari Jumaat adalah dari pukul 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang.

“Saya berehat di luar bukanlah selama tiga jam. Lebih kurang satu jam saya berada di ruang hiburan. Itu pun selepas makan tengah hari. Masa selebihnya saya sudah pun berada di pejabat untuk menunaikan solat zohor,” jelasnya dalam video tersebut.

Sebelum ini, tular satu tangkap layar video di X menunjukkan wanita tersebut bangga memberitahu bagaimana dia meluangkan masa rehat yang panjang setiap hari Jumaat.

Timbul pelbagai persoalan dan spekulasi dalam kalangan netizen apabila pekerja sektor awam ini menghabiskan masa mengunjungi pusat karaoke yang terletak berhampiran pejabatnya.

Susulan pertikaian tersebut, wanita ini tamil mengakui kesilapannya melanggar etika kerja apabila dia tidak membuka lanyard (tali penyandang) ketika waktu rehat.

“Waktu rehat, saya tidak bawa beg tangan. Hanya dompet dan telefon bimbit sebab itulah saya tidak membuka lanyard jika pergi ke mana-mana kerana tidak ada tempat untuk simpan.

“Perkara ini juga dianggap biasa di kawasan itu kerana ramai pekerja dekat sana juga tidak membuka landyard mereka.

“Tapi saya mengakui kesalahan tidak membuka landyard tersebut apabila masuk ke tempat hiburan,” jelasnya lagi.

Rata-rata warga maya mengkritik tindakan dianggap kurang cerdik wanita terbabit apabila dia sendiri mendedahkan bahawa dia mendapat kerja menggunakan ‘orang dalam’ (staf yang membantu mendapatkan kerja).

Menurut wanita tersebut, kenyataan yang dikeluarkan hanyalah bertujuan membalas komen salah seorang pelayar di TikTok dalam bentuk gurauan sahaja.

“Saya mengakui kekhilafan saya yang kurang cerdik mengeluarkan kenyataan akhirnya memberikan pandangan buruk kepada diri saya dan juga penjawat awam yang lain.

“Jika benar saya ada ‘kabel’, tentu sekali saya sudah sambung kontrak pada tahun ini, tetapi hakikatnya tidak. Saya ingin perjelaskan lagi bahawa saya tahu mengenai jawatan kosong melalui status kawan pada Mac 2023.

“Saya pergi sendiri untuk memohon dan juga melalui proses temu duga dengan pegawai di sana. Dalam beberapa hari kemudian, saya dapat panggilan diterima bekerja,” ujarnya.

Hantaran tersebut dikongsikan bertujuan untuk memohon maaf kepada semua.

Bagaimanapun, ruangan komen pada video penjelasan berbentuk kenyataan panjang yang dibuat telah pun ditutup terlebih dahulu.

Menurut portal ecentral, Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) merupakan inisiatif Kerajaan yang menyediakan peluang pekerjaan jangka pendek (kontrak) di pelbagai Kementerian, Agensi Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Rakan Strategik.