“Saya kena pindah rumah baru, owner lama dah halau sbb tak dpt byr sewa je settlekan ah long, saya minta tlg merata, tiap kali minta bantuan, diorg minta gambar b0gel, saya jadi takut, sehina ini ke saya?”
KOS sara hidup yang kian meningkat pada ketika ini, ditambah pula dengan pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan membuatkan segelintir individu tidak berfikir panjang dan cenderung membuat pinjaman peribadi.
Tersalah langkah, seseorang boleh menjadi hamba hutang dan akhirnya jatuh muflis.
Dalam satu perkongsian di laman grup Facebook Muflis Bankrupt di Malaysia, seorang wanita meluahkan masalah yang dihadapinya di mana dia terjerat dengan hutang sehingga terpaksa ‘mengemis’ bantuan warga maya.
Menurut wanita yang tidak mendedahkan identiti itu, dia sebelum ini membuat Pinjaman Wang Berlesen (PWB) dan ah long kerana terdesak memerlukan wang untuk membayar deposit rumah.
“Sebab kena pindah rumah baharu, (kerana) rumah lama owner dah halau sebab tak dapat bayar sewa settlekan ah long.
“Saya buntu tiap kali gaji, PWB tu tolak gaji saya terus sebab dia pegang card bank saya. Baki tu pula buat bayar ah long. Sampai tak dapat bayar sewa rumah.
“Sekarang saya tak ada tempat tinggal dan tengah struggle cari deposit rumah. Kes ah long dah settle cuma PWB je belum habis lagi,” luahnya dalam hantaran tersebut.
Menurutnya lagi, dia sudah meminta bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat namun semuanya tidak dapat menghulurkan pertolongan memandangkan jumlahnya agak besar.
“Saya merantau jauh dengan family. Duduk sendiri. Sekarang ni saya memerlukan lagi RM2,500 je untuk bayar deposit rumah,” luahnya.
Memandangkan sudah dihalau keluar dan tidak mempunyai deposit yang mencukupi untuk menyewa rumah, wanita itu berkata dia kini terpaksa menumpang di stor tempat kerjanya.
“Saya dah cuba usaha, pinjam kawan-kawan juga tapi mereka pun bukan orang senang.
“Jika ada yang baik hati boleh tolong suggest solutions yang baik untuk saya. Tiap-tiap hari saya berdoa harap ada orang yang dapat hulurkan bantuan tapi apakan daya, tak ada siapa pedulikan saya.
“Tiap kali minta bantuan, diaorang minta gambar bogel atau real sex as a return. Saya jadi takut. Sehina ini ke saya?
“Boleh sesiapa tolong suggest kan apa yang perlu saya buat tak? Macam mana nak cari duit sebanyak tu,” luahnya lagi.
Menjengah ruangan komen, pelbagai reaksi yang dilontarkan netizen namun ramai yang mengecamnya kerana sengaja mencari masalah dengan membuat pinjaman dengan ah long.
“Duduk je la stor tu sampai habis bayar hutang lepas tu baru buat plan lain.
“Ni demand sangat ni. Sewa bilik cari la murah sementara… dah settle hutang cari la mahal-mahal.
“Nak orang lain pula sediakan duit bayarkan dia punya deposit rumah sewa… cari sendirilah. Orang lain susah nak mati, anak bini tak makan lagi, sewa nak bayar, bil-bil nak bayar,” demikian antara komen netizen.