Saya jalan tugas secara pro bono, tak ambil satu sen pun – Muhyiddin

Saya jalan tugas secara pro bono, tak ambil satu sen pun – Muhyiddin

 

Mantan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya tidak menerima sebarang elaun dan peruntukan ketika beliau memegang jawatan berkenaan dalam kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, ketika ini dia tidak lagi memegang jawatan berkenaan dan sudah meletak jawatan itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas nasihat peguamnya.

“Sewaktu saya memimpin MPN pun saya jalankan tugas pro bono dan tidak mengambil elaun satu sen pun.

“Keduanya MPN ini adalah badan penasihat sahaja, bukan eksekutif dan tiada peruntukan.

“Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi (Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO) ni bodoh yang cakap kita ini ada peruntukan tu semaklah berapa ratus juta yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Perikatan Nasional Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, MPN tiada peruntukan dan perakuan dikemukakan kepada Kabinet untuk menyatakan apa tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan.

“Kalau ikutkan kiraan hari itu, kita ada 95 perkara, Kabinet semua dah lulus dan semestinya ada implikasi kewangan. Itu soal kerajaan tapi bukan peruntukan diberi kepada MPN.

“Kenapa bahlol sangat Puad Zarkashi? Di mana bukti yang tunjuk saya dapat duit berjuta-juta? Semua pembohongan, penipuan.

“Jadi pada saya dia patut belajar. Dah beberapa kali dia buat kenyataan tak betul semua tak betul pasal niat dia jahat.

“Saya tidak dapat peruntukan satu sen pun. Faktanya adalah MPN badan penasihat. Nak terima, terima. Tak nak tidak apa (pandangan),” katanya.

Sebelum itu, Mohd Puad, meminta Muhyiddin menjelaskan mengenai butiran perbelanjaan dana MPN.

Beliau mendakwa Muhyiddin menerima dana beratus juta ringgit daripada Perdana Menteri ketika itu.

“Persoalannya ke mana duit itu dibelanjakan. Adakah dibelanjakan untuk parti BERSATU sahaja.

“Semoga Muhyiddin tampil perjelaskan. Elok juga Audit Negara buat pendedahan,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Tambah beliau, sekiranya dakwaan itu benar, ia mungkin menjadi sebab mengapa kewujudan MPN tidak berkesan.

Beliau juga mendakwa, MPN cuma membazir duit rakyat dan jadi alat politik.

“Ini belum cerita pasal RM92 bilion. Mengejutkan,” kata Mohd Puad.