‘Saya faham kenapa netizen tak puas hati Kak Long jadi tetamu jemputan di TV Al-Hijrah’ – Peguam

‘Saya faham kenapa netizen tak puas hati Kak Long jadi tetamu jemputan di TV Al-Hijrah’ – Peguam

 

Rasanya, saya boleh faham kenapa netizen menyuarakan rasa tidak puas hati berkenaan Kak Long yang menjadi tetamu jemputan di TV Al-Hijrah.

Begini, pada segelintir orang, dijemput oleh TV stesen dianggap sebagai pengiktirafan.

Sehingga hari ini, walaupun ada dunia media sosial dan saluran Youtube sendiri tetapi jika dipanggil ke stesen TV untuk memberikan pendapat atau ulasan tetaplah dianggap sesuatu yang berbeza dan lain dari lain.

Apa tidaknya, berbanding jutaan orang Malaysia tetapi yang satu inilah yang dipanggil untuk memberi ulasan, pandangan atau berkongsi pengalaman di hadapan jutaan penonton di kaca TV. Jadi tidak hairan, jika jadi riuh saudara-mara atau rakan-rakan, apabila kita disiarkan di TV. “The one and only”.

Pengiktirafan atau jemputan yang memberi gambaran begini, sepatutnya diberikan kepada yang sepatutnya atau selayaknya.

Misalnya dalam kes keganasan rumah tangga, ragut, jenayah scam atau apa-apa kesalahan biasanya yang dipanggil adalah mangsa untuk berkongsi pengalaman, langkah diambil, bagaimana menangani masalah supaya orang awam dapat mengambil iktibar.

Jarang sekali dan memang boleh dikatakan tiada yang dipanggil itu pelaku. Misalnya pelaku keganasan rumah tangga memberi pandangan berkenaan perbuatannya memukul. Walaupun dia cuba mengambarkan dia kesal, berubah tetapi masih perbuatannya itu salah dan tidak sepatutnya dijadikan ikutan.

Dalam kes Kak Long ini, saya ada beberapa kali terbaca permohonan maafnya. Semoga dia sedar dan peristiwa ini jadi pengajaran. Bagus jika dia ambil iktibar.

Tetapi jika dia memberi perkongsian, saya rasakan tidak tepat kerana saya berpendapat dia adalah pelaku yang memuatnaik Live berkenaan insiden di Seven Eleven dan KFC. Semuanya tercetus kerana dia sendiri yang muatnaik.

Satu Malaysia dapat menonton setiap patah perkataan yang digunakan dan reaksinya dan apabila dimuatnaik untuk tontonan maka penonton juga ada hak membuat andaian, pandangan dan menilai. Begitulah fitrahnya apabila kita memilih untuk menjadi tontonan umum.

Bagi perbuatan memuatnaik sesuatu yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya orang lain adalah merupakan kesalahan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar di internet.

Jadi perbuatan Kak Long memuatnaik video begitu, boleh dikategorikan sebagai kesalahan yang ini. Saya faham kenapa orang awam marah apabila dia dijemput untuk ke stesen TV Al-Hijrah.

Persoalannya, kenapa seseorang yang melakukan kesalahan diberi keistimewaan untuk disiarkan dan memberikan pandangan tentang isu ini?

Hal begini juga memberi mesej yang salah kepada orang ramai terutamanya golongan muda yang akan melakukan apa sahaja untuk viral dan juga menjadi popular.

Barangkali mesejnya, maki atau marah orang juga boleh jadi popular serata Malaysia. Zaman sekarang, ada segelintir yang tidak kisah apa cara pun, asalkan popular. Habis semua hendak di Live kan.

Sekarang ini sudah menjadi trend dan ikutan menayang duit, beli kereta jutaan ringgit dan pelbagai cara sebagai strategi pemasaran. Sehingga wujud istilah ‘Budaya flex’. Kalau beberapa tahun dulu, kita mungkin tidak sangka hal begini akan jadi trend. Orang dahulu, hendak terlalu menunjuk-nunjuk, kadangkala malu.

Jangan sampai satu masa trend maki hamun orang pula jadi trend, kemudian trend gaduh suami isteri diviralkan. Macam-macamlah. Siapa tahukan? Dunia semakin ‘full of surprise’. Semua perkara sudah tiada rahsia.

Sebab itu ada usaha-usaha menghalang dari awal itu perlu, jangan sampai jadi trend.

Oleh Nor Zabetha.