“Saya dimalukan di seluruh Malaysia” – Imej tercalar, Tajuddin akan ambil tindakan

“Saya dimalukan di seluruh Malaysia” – Imej tercalar, Tajuddin akan ambil tindakan

Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercadang mengambil tindakan terhadap pihak yang telah memalukan dan menjatuhkan reputasinya susulan insiden melibatkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, Mei lalu.

Beliau berkata, laporan-laporan yang dibuat daripada insiden itu terutama di portal berita telah mencalarkan imej beliau dan memberi gambaran sebagai seorang pemimpin yang tidak sensitif terhadap mangsa yang terlibat.

Menurutnya, apa yang dilaporkan dan disebarkan itu tidak mengambil keseluruhan situasi sebenar dan lebih bersifat kontroversi seolah mempunyai agenda tertentu untuk menjatuhkan imej beliau selaku pemimpin.

“Saya dimalukan di seluruh Malaysia sebagai seorang tokoh tidak layak, tidak sensitif, rasis, tidak ikut prosedur operasi standard (SOP), hingga ada pula yang sanggup buat petisyen untuk letak jawatan.

“Semuanya bersifat menghentam dan ada pula yang mengambil kesempatan dengan melaporkan kepada polis.

“Ia tidak adil bagi saya, satu hari saya akan kenal pasti siapa yang beria-ia sangat (menghentam) itu dan ambil tindakan mengikut peraturan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan prihatin rakyat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen di Chenderong Balai, di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu menjelaskan, sejak awal sidang media lagi, beliau selaku Pengerusi Parasarana (ketika itu) melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan insiden yang berlaku.

Katanya, Prasarana juga telah mengadakan perbincangan segera untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan menanggung kos rawatan di hospital dan bantuan khas kepada mereka yang hilang pendapatan disebabkan insiden itu.

“Jadi di mana yang dikatakan tidak prihatin itu, saya cabar mereka lihat balik video sepanjang sidang media itu dan buktikan saya tidak sensitif.

“Adakah hanya kerana saya bergurau sedikit dan sebutkan pertembungan dua tren itu sebagai kiss each other, maka itu diambil sebagai bahan bahawa saya tidak prihatin dan sensitif?

“Orang yang kenal Tajuddin tahulah saya bagaimana, tetapi mereka yang tak kenal saya ini mainkan cerita-cerita seolah-olah ada agenda politik untuk menjatuhkan imej saya,” katanya.

Beliau turut menegaskan pemecatan daripada Prasarana bukanlah satu masalah besar bagi dirinya.

Katanya, perkara itu sudah dilalui sejak dulu lagi termasuk dalam politik. Beliau dipecat daripada UMNO pada 1995 dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987.

“Jadi saya tidak ada masalah dengan perkara itu, tak berdendam pun, pegangan saya berani kerana benar dan biarlah masa yang menentukan kebenaran itu,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 8.33 malam, 24 Mei lalu, sebuah tren tidak membawa penumpang bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang mengakibatkan 47 daripada mereka parah dan 166 lagi cedera ringan.

Berikutan laporan sidang media yang dikendalikan Tajuddin, kerajaan pada 26 Mei telah menamatkan khidmat pemimpin senior UMNO itu sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana serta-merta.

Sumber: Sinar Harian