“Saya dianiaya, ini semua fitnah” – Jerit bapa Zayn Rayyan

“Saya dianiaya, ini semua fitnah” – Jerit bapa Zayn Rayyan

 

Ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin tiba di Kompleks Mahkamah, di sini pagi ini, bagi prosiding sambungan atau penamatan reman.

Pasangan suami isteri itu yang direman selama tujuh hari berakhir hari ini, memakai baju lokap sebelum dibawa masuk Mahkamah Majistret pada jam 9.30 pagi.

Ketika dikawal ketat polis, bapa Zayn Rayyan sempat mengatakan ‘saya dianiaya, ini semua fitnah’ sebelum keadaan menjadi kecoh apabila beberapa individu dipercayai ahli keluarga menjerit sebelum pasangan terbabit dibawa masuk mahkamah.

Pihak media tidak dibenarkan mengikuti prosiding itu memandangkan masih lagi di peringkat permohonan untuk siasatan.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan akan memohon sambungan reman kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan pembunuhan mangsa.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah

Sementara itu, kira-kira 20 individu dipercayai ahli keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin berkumpul di luar Kompleks Mahkamah di sini pagi ini, sejurus ibu bapa kanak-kanak autisme itu dibawa masuk ke Mahkamah Majistret untuk prosiding reman.

Mereka memegang kain rentang bertulis ‘Allahuakbar Keadilan Untuk Zaim & Isma’, ‘Justice For Zayn Rayyan’ dan ‘Keadilan Untuk Zayn Rayyan’.

Seorang wanita dipercayai ahli keluarga terdekat kepada bapa Zayn Rayyan menjerit supaya keadilan diberikan kepada anaknya itu.

“Kami mahu pembunuh yang sebenar, ibu tahu Zaim tidak salah,” katanya.