“Saya belum bankrap lagi”, kata Najib
“SAYA belum bankrap lagi dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini,” kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak penangguhan pembayaran tuntutan cukai pendapatan terhadapnya hari ini.
Najib menjelaskan, pelbagai proses perlu dilalui Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengisytiharkan dirinya sebagai individu muflis.
“Lama lagi dan banyak lagi proses serta langkah perlu diambil sekiranya kerajaan PN tetap nak bankrapkan saya,” katanya di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau tidak gusar dengan status muflis yang bakal dikenakan kepadanya kerana ia tidak akan mampu mendiamkannya daripada terus bersuara memperjuangkan suara rakyat.
“Lagipun sekiranya kerajaan PN berjaya pun, ia tak bermaksud saya akan henti bersuara demi rakyat dan tiada sesiapa yang pernah kata status bankrap tidak boleh dipulihkan dalam masa terdekat sebab bankrap tak bermaksud saya lumpuh.
“Status bankrap juga tak maksud saya terus bertukar menjadi sembab, lembab atau bodoh seperti diakui seseorang tertentu di dalam bicara khas hari itu,” katanya.
Dalam pada itu bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, Mahkamah Tinggi tidak membenarkan penangguhan itu kerana Hakim Datuk Ahmad Bacher meminta kesahihan tuntutan cukai pendapatan itu perlu disemak oleh Pesuruhjaya Cukai Pendapatan (SCIT).
“Saya lihat kebanyakan media tempatan hari ini kurang mengulas point utama digunakan hakim mahkamah kenapa dia tak benarkan untuk saya tangguh usaha LHDN untuk bankrapkan saya.
“Hakim mengaku bahawa pengiraan penalti cukai oleh LHDN terhadap saya perlu disemak kesahihannya oleh kebankrapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP atau SCIT). Proses ini belum bermula dan kita masih tunggu sejak dua tahun lalu.
“Hakim kata saya peguam saya tak berjaya buktikan bahawa LHDN tiada kemampuan untuk refund kepada saya sekiranya PKCP mengesahkan taksiran cukai penalti LHDN terhadap saya adalah salah atau tidak sah pada masa depan,” katanya.
Najib juga berkata, undang-undang ‘bayar dulu, bincang kemudian’ boleh dieksploitasikan mana-mana pihak terhadap sesiapa yang diingininya.
“Hakim kata saya tak rugi apa-apa (no unquantifiable loss) sebab kerajaan mampu membayar balik bayaran RM1.7 bilion itu kepada saya sekiranya saya berjaya di peringkat PKCP.
“Inilah apa yang saya maksudkan bahawa amat mudah bagi sesebuah kerajaan untuk menyalahgunakan akta cukai untuk kenakan seteru mereka dengan apa-apa taksiran cukai yang mereka mahu.
“Kalau kerajaan nak kenakan denda cukai sebanyak RM1 trilion ke atas Mahathir atau Guan Eng pun jalan terus dan sah di bawah undang-undang atas dasar “bayar dulu, bincang kemudian” ini. Soal pengiraan taksiran itu sahih atau tidak, kira nanti,” katanya.
Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang.
Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Julai tahun lalu, memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.
Sumber: Malaysiapost