‘Saya bahagia angkut sampah’ – Vokalis Sejati
Lagu Bila Bunga Dipetik Orang dan Kerana Menyintaimu menjadi siulan anak muda sekitar 90-an lalu namun kini penyanyinya terpaksa mengambil upah mengangkut sampah demi kelangsungan hidup.
Vokalis kumpulan Sejati, Yazid Alias, 55, berkata, akibat terkesan pandemik Covid-19 menyebabkan dia tidak lagi mendapat undangan membuat persembahan daripada mana-mana pihak.
Katanya, demi kelangsungan hidup dia terpaksa beralih kerjaya dengan mencari pekerjaan halal yang boleh menyara kehidupan keluarga.
“Setiap hari, bermula jam 9 pagi, saya membonceng motosikal roda tiga untuk mengambil upah mengutip sampah di sekitar Kampung Balun dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Balun.
“Setiap rumah yang mendapatkan perkhidmatan saya akan memberi upah sebanyak RM10 sebulan dan ada juga yang bermurah hati memberi lebih selepas melihat kesungguhan kerja yang saya buat ini,” katanya ketika ditemui, dekat sini.
Yazid berkata, penduduk sentiasa memberi sokongan kerana dapat membantu memastikan kawasan kampung bersih dan bebas daripada sampah.
Dia berkata, walaupun seketika dulu pernah popular sebagai artis dan dikenali ramai namun dia tidak sesekali malu dengan pekerjaan yang dilakukan sekarang.
“Buat apa nak malu mengangkut sampah kerana ini kerja halal dan saya tidak kisah apa kerja yang ditawarkan asalkan halal untuk menyara keluarga saya.
“Saya bersyukur kerana masih lagi dikurniakan tubuh yang sihat untuk berkerja menyara keluarga dan ketika cuti sekolah, anak saya, Putera Norsyareza, 12, juga membantu,” katanya.
Menurutnya, selepas mengangkut dan meletakkan sampah di tong sampah disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdekatan Taman Tasik Yang Dipertua (YDP) Slim River, dia membersihkan tempat meletak sampah dengan hampas kelapa.
“Hampas kelapa ditabur pada pelantar untuk menghilangkan bau dan menyerap air sampah pada bahagian pelantar itu sebelum saya kembali mengangkut sampah di rumah penduduk.
“Walaupun pekerjaan ini bergelumang dengan bau sampah yang busuk namun demi kelangsungan hidup maka saya terpaksa lakukan juga bagi menyara kehidupan keluarga,” katanya.
Yazid berkata, dia menasihati artis baharu yang sedang mencipta nama agar beringat ketika popular dengan membuat tabungan masa depan secukupnya.
Katanya, setinggi mana di atas, lambat laun berada di bawah juga menyebabkan mereka perlu membuat persediaan.
“Saya reda dan bahagia dengan pekerjaan yang saya lakukan sekarang dan yang penting saya mampu berdikari untuk keluarga saya,” katanya. – HM