“Satu kegilaan” – Wanita geram dengan penggubal silibus matematik, tiada belas ehsan kepada kanak-kanak

“Satu kegilaan” – Wanita geram dengan penggubal silibus matematik, tiada belas ehsan kepada kanak-kanak

 

Demi mencapai tahap pendidikan bertaraf dunia, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah agresif dengan melakukan bermacam eksperimen dalam penghasilan silibus yang berkualiti di negara ini.

Namun tidak semua orang bersetuju dengan pendekatan baharu dan salah seorang ibu telah meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan tahap silibus matematik yang dipelajari oleh anaknya di bangku sekolah pada hari ini.

Dia mendedahkan rasa bengang dengan penggubal silibus dan menuduh mereka tidak mempunyai sifat empati kerana menyediakan skop pembelajaran yang kompleks buat anak di awal usia persekolahan.

“Saya merasa geram dengan penggubal silibus yang langsung tiada belas ehsan kepada anak kecil. Usia 8 tahun perlu menyelesaikan soalan darab, bahagi, pecahan dan perpuluhan, jisim dan isipadu, carta palang dan pelbagai rumus dengan soalan berbelit-belit,” luahnya.

Tambahnya lagi, dia yang dahulunya digelar juara matematik di sekolah rendah pada suatu ketika dahulu mengalami kesukaran untuk menyelesaikan silibus pada masa kini dan menggelarkan ia sebagai satu kegilaan.

Hantaran yang dimuat naik di akaun peribadi Facebook meraih pelbagai reaksi dari netizen dan majoritinya bersetuju dengan luahan wanita tersebut di mana silibus matematik pada masa kini terlalu rumit sehingga sukar dihadam oleh orang dewasa apatah lagi untuk anak-anak mereka.

Agak mengejutkan lagi apabila ada ibu bapa yang mendedahkan bahawa kesemua silibus mata pelajaran di sekolah juga mempunyai tahap kesukaran yang terlalu tinggi.

Sementara sebahagian lain pula berpendapat silibus pada masa kini dibuat seiring dengan kemajuan dengan hari ini. Malah, ada yang mendakwa silibus sebegini sudah digunakan oleh anak yang bersekolah di sekolah jenis kebangsaan cina dan tidak pernah timbul sebarang runggutan dikalangan ibu bapa di sana.