“Sapa nak makan boleh ambil” – Pemilik pokok dipuji sedekah buah rambutan kepada orang ramai
Kadang kala, ada daripada kita dengan selamba mengambil barang atau buah yang dijumpai di tepi jalan kerana mengganggap tidak bertuan.
Namun, tindakan itu sebenarnya sudah salah di sisi undang mahupun etika kerana sudah mengambil hak orang lain tanpa meminta keizinan.
Baru-baru ini, tular di platform TikTok mengenai sebuah video yang dikongsikan oleh penduduk setempat yang mengambil buah rambutan dari pokok yang ditanam oleh tuan rumah di tepi jalan.
Apa yang menarik perhatian ramai adalah pemilik pokok itu telah menghalalkan kesemua buah rambutan untuk diambil sesiapa yang melalui kawasan itu. Malah, individu tersebut siap menyediakan galah agar boleh mengambil buah yang ada di dahan yang tinggi.
“Buah percuma, sapa nak makan boleh ambil. (Galah ada tepi pokok),” tulisnya pada satu kertas lalu digantung di pokok itu.
Dapat dilihat kegembiraan pada raut wajah orang ramai yang melalui jalan itu kerana dibenarkan menikmati buah rambutan yang sudah ranun dan ada yang dibawa pulang untuk berkongsi bersama tersayang.
@amirsyazal semoga tuan pokok dimurahkan rezeki
Video yang tular itu sememangnya meraih perhatian ramai dan rata-ratanya meluahkan rasa terharu dengan kebaikan pemilik pokok yang tidak lokek dengan berkongsi hasil bersama orang ramai.
Ramai mendoakan agar pemilik pokok itu diberikan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki kerana tersentuh dengan sifat pemurahnya.
Dalam masa yang sama, netizen turut menasihati mereka yang mengambil untuk tidak menjual semula untuk meraih wang dengan mudah.