Sanggup terjun tengah hujan, wanita dakwa dapat zuriat selepas mandi di Tasik Dayang Bunting

Sanggup terjun tengah hujan, wanita dakwa dapat zuriat selepas mandi di Tasik Dayang Bunting

 

Sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke Tasik Dayang Bunting, Pulau Langkawi pasti akan melihat bentuk gunung yang menyerupai seorang perempuan sedang terbaring dengan bentuk kepala, dada dan perut yang sedang bunting.

Bukan itu sahaja, ada juga mitos yang mengatakan bahawa sesiapa yang mahu mendapatkan zuriat dengan cepat boleh berikhtiar dengan mandi atau berendam di tasik itu.

Malah, baru-baru ini, seorang pengguna TikTok telah memuat naik hantaran video yang menyatakan tentang keberkesanan mitos tersebut apabila selepas seminggu pulang dari tasik tersebut, dia akhirnya berjaya mendapatkan zuriat.

@royalkaftan

#tasikdayangbunting #langkawi #tasikdayangbuntinglangkawi #tasikdayangbunting

♬ Easy On Me (Remix) – Talei Takayawa

Balik je dari sini, seminggu lepastu saja buat test.. Alhamdulillah lekat sorang baby Langkawi.

Namun, seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Malissa Ali telah memuat naik ciapan meluahkan rasa kebimbangannya terhadap video tersebut.

Menurutnya, ikhtiar yang dilakukan itu adalah khurafat dan boleh jatuh syirik serta memesongkan akidah seseorang.

Dah makin merepek-repek trend ni. Kehidupan bukan datang dari tasik tu, tapi datang dari Allah.

Meninjau di ruangan balas, rata-rata netizen turut bersetuju dengan kenyataan tersebut dan mengatakan amalan khurafat ini tidak seharusnya dipraktikkan lagi sebagai individu beragama Islam.

Boleh jadi syirik sebab pemikiran “sebab tasik dayang bunting aku mengandung”,” tulis seorang pengguna Twitter.

Sementara itu, pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU) Amin memberitahu bahawa setiap rezeki, ajal, maut, jodoh dan pertemuan adalah takdir Allah SWT dan manusia diberikan jalan untuk berusaha bagi mendapat kebaikan daripada perkara tersebut.

“Mengenai Tasik Dayang Bunting, pertama kalau daripada sudut fakta saintifik bermakna siapa yang masuk dalam tasik tu, ia akan menyuburkan seseorang, namun fakta itu tidak ada.

“Kedua daripada segi fakta agama, adakah ada mana-mana tempat memang ajaib dan suci kalau kita pergi sana dan kita keluar maka dipermudahkan urusan untuk dapat anak? Fakta agama pun tidak ada.

“Ketiga adalah hukum alam. Macam herba, ubat-ubatan dan sebagainya. Itu digelarkan sebagai alat atau ubat saja. Ia bukan tugas untuk menyembuhkan tetapi membantu daripada segi memberi penawar dan rawatan agar apa yang dihajati dimakbulkan.

“Keempat, sekiranya kita mempercayai ada keajaiban, magik atau luar biasa, itu membawa kepada syirik. Ini kerana kepada Tuhan kita sembah, kepada Tuhan kita minta pertolongan. Kita tidak minta pertolongan daripada tasik, tapi kita minta tolong daripada Allah SWT,” katanya kepada mStar.

Sehubungan itu, PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, setiap perkara yang berlaku adalah takdir dan ketentuan Allah SWT.

“Kalau kita celup badan di tasik itu kemudian mengandung… mengandung itu adalah takdir Allah dan bukan disebabkan oleh tasik, bukan disebabkan namanya Dayang Bunting.

“Tak boleh kita jadikan tempat itu sebagai ajaib, kalau celup itu dapat anak. Itu adalah wafaq, yang kita jadikan sebagai tangkal dan itu adalah haram di sisi agama.

“Kalau betul kita mengandung atau mendapat zuriat selepas itu (ke Tasik Dayang Bunting), ia adalah kuasa daripada Allah SWT. Bukan disebabkan semata-mata tasik atau rawatan yang kita buat. Itu semua asbab sahaja. Allah yang menentukan segala-galanya,” katanya.