Samseng jalanan ‘Am Ulala’, ‘Kecik Super’ ditahan terlibat lumba haram babit pertaruhan RM15 ribu

Samseng jalanan ‘Am Ulala’, ‘Kecik Super’ ditahan terlibat lumba haram babit pertaruhan RM15 ribu

 

Tindakan dua kumpulan ‘mat rempit’ berlumba sambil melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) yang kemudiannya tular dalam media sosial, membawa padah apabila mereka yang terlibat dicekup polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka yang ditahan adalah dua pelumba motosikal dan seorang mekanik yang juga penganjur perlumbaan tersebut yang melibatkan wang pertaruhan RM15,000.

“Polis Perak mengesan satu rakaman video yang tular mengenai perlumbaan motosikal haram di WCE susur keluar Sitiawan dalam daerah Manjung. Hasil siasatan kemudian mengesan kejadian berlaku pada pukul 5 pagi 16 November lalu melibatkan dua kumpulan samseng jalanan dikenali sebagai ‘Am Ulala’ dan ‘Kecik Super’ yang melakukan aksi berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan Utusan.

Menurut beliau, Pasukan Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kemudian menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang juga pelumba pada 5.30 petang, hari kejadian, dan merampas motosikal Yamaha Y15ZR yang disorokkan di sebuah bengkel di Teluk Intan.

Jelasnya, tangkapan pelumba kedua berusia 23 tahun di Jalan Kuala Kangsar-Ipoh pada pukul 9 malam, 22 November lalu manakala penganjur perlumbaan berusia 22 tahun ditahan Selasa lalu.

Beliau memberitahu, suspek kemudian menunjukkan lokasi penyimpanan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang juga digunakan dalam perlumbaan itu, yang disembunyikan di sebuah premis pejabat di Pulau Pinang.

Menurut beliau, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953.

“Polis melalui JSPT Perak akan terus mempertingkatkan operasi bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan. Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya ditetapkan,” tegas beliau.