Sampah: Penduduk pasang peringatan ‘kasar’

Sampah: Penduduk pasang peringatan ‘kasar’

Tulisan pada kain rentang di satu lokasi berhampiran Taman Suria Meru dan Taman Meru Perdana di sini memang agak kasar, namun penduduk terpaksa berbuat demikian apabila masih banyak pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat larangan itu sejak beberapa tahun lalu.

Dua kain rentang masing-masing sepanjang enam meter dengan tulisan antaranya, ‘Lagi maju lagi malas’, ‘Jenis manusia degil tak boleh cakap baik-baik’ dan ‘Siapa buang sampah di sini patut kena Covid-19’ itu dipasang dengan harapan menjadi pengajaran kepada orang ramai.

Penduduk, Khairul Adnan Hamid, 33, berkata, sejak dua tahun lalu, kawasan jalan mati yang bersempadan antara dua taman itu menjadi lokasi pembuangan sampah haram bukan setakat sisa makanan tetapi sampah pukal dan kebun.

Menurutnya, walaupun Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah mengeluarkan amaran dan mengambil tindakan tegas, masih ramai yang melakukan perkara sama menyebabkan penduduk kecewa.

“Kami menganggap mereka yang membuang sampah tidak faham bahasa yang sopan, jadi sebaiknya kita tulis dalam bahasa kasar.

“Walaupun kata-kata ini tidak elok digunakan, kami terpaksa kerana tujuannya hanya untuk menyelesaikan masalah longgokan sampah di sini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Khairul Adnan berkata, longgokan sampah di kawasan itu bukan sahaja menyebabkan bau busuk tetapi menyakitkan mata dan membahayakan kesihatan.

Katanya, ada ketika sisa makanan yang dibuang di situ pada kuantiti yang banyak menyebabkan sampah berkenaan bertaburan apabila dimakan anjing liar.

“Itu tidak termasuk sisa kebun seperti dahan pokok, peralatan rumah serta perabot yang sudah tidak digunakan, semuanya dilonggokkan di sini menjadikan kawasan ini timbunan sampah.

“MBI sudah kerap melakukan pembersihan malah ada penduduk yang mengambil inisiatif membakar longgokan sampah-sampah ini, tetapi situasi sama masih berulang,” katanya. – SH