Salute dengan ibu ini, sanggup hadir tuisyen dan ambil SPM untuk motivasi anak belajar

Salute dengan ibu ini, sanggup hadir tuisyen dan ambil SPM untuk motivasi anak belajar

 

Siapa sangka, seorang ibu sanggup menghadiri kelas tuisyen dan menduduki semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi memberi motivasi kepada anaknya.

Usaha sememangnya tidak mengkhianati hasil apabila wanita yang berasal daripada Sarikei, Sarawak itu meraih keputusan 3A selepas mengikuti kelas selama tiga bulan.

Menurut Malaysia Dateline, wanita berusia 48 tahun itu rela menghadiri kelas untuk sembilan mata pelajaran di sebuah pusat tuisyen berbayar menerusi platform di atas talian (online).

Keputusan itu dibuat untuk mengubah sikap anaknya, Muhammad Haziq Asyraf yang tidak mahu belajar selain gemar bermain permainan video dan telefon bimbit sahaja.

“Niat saya adalah untuk membantu mengajar anak dan memberi motivasi kepada dia. Sebabnya, anak memang suka main ‘game’ dan telefon bimbit sampai lewat malam.

“Saya suruh belajar, dia tak nak. Jadi, saya fikirlah macam mana nak mengajar dia kalau saya juga tak pandai. Bukan apa, saya takut keputusan SPM dia nanti tak melayakkan dirinya untuk melanjutkan pelajaran.

“Jadi saya cakap kepada diri, mengapa tidak mengambil SPM juga? Maka, saya pun mengikuti kelas tuisyen dalam talian. Memandangkan anak berada di asrama, saya juga boleh bantu mengajar dia menggunakan nota yang disediakan,” katanya.

@sir.race

Hargailah ibu anda 😭 Norazah yang berumur 48 tahun sanggup tuition online dengan @PTTI untuk pastikan anaknya tak gagal SPM. #SPM #ResultSPM #PTTI

♬ original sound – Sir Race PTTI 🅿️ PakarSPM.com – Sir Race PTTI 🅿️ PakarSPM.com

Wanita itu bagaimanapun langsung tidak menyangka akan memperoleh keputusan membanggakan iaitu 3A, 3B, 2C dan 1D dalam peperiksaan tersebut, baru-baru ini.

Berdasarkan keputusan yang dikongsi oleh guru pusat tuisyen terbabit, Norazah Spiji berjaya meraih gred A bagi subjek Bahasa Melayu (A-), Sejarah dan Matematik (A).

“Saya pilih pusat tuisyen yang menawarkan program ‘Selekoh Akhir’ selepas dapat tahu ramai murid mendapat banyak A ketika belajar di sini. Kalau saya belajar sendiri tak faham pula. Alhamdulillah, selama tiga bulan saya mudah ingat dan faham.

“Tetapi ketika itu, langsung tak terfikir pun boleh dapat A dalam Matematik. Apatah lagi dengan umur saya ini, memang cepat lupa. Tetapi, saya cuba jugalah,” kata ibu yang tidak mengenal erti tidak putus asa itu.

Pengorbanan Norazah itu membuahkan hasil apabila anaknya yang merasa tercabar akhirnya berubah dan turut berjaya meraih 3A berbanding keputusan peperiksaan percubaannya sebelum ini iaitu 6G.