Tanggung hutang RM200k, penjawat awam menyesal salah guna kemudahan ‘personal loan’
Bekerja sebagai penjawat awam sering menjadi dambaan ramai kerana sekuriti kerja yang baik ditambah pula mudah membuat pinjaman menerusi pelbagai skim di luar sana.
Namun, kelebihan membuat pinjaman secara khususnya boleh memakan diri di kemudian hari jika tidak pandai diuruskan.
Baru-baru ini, seorang individu dengan identiti dirahsiakan telah membuat luahan betapa kesalnya mengambil pelbagai pinjaman dek kerana bekerja sebagai penjawat awam di grup Muflis Bankrupt di Malaysia.
Individu ini mula menceritakan yang dia sangat teruja mengambil pinjaman peribadi kerana mahu merasa pegang jumlah wang yang besar di tangan.
Ekoran permohonan pinjaman peribadi terlalu mudah diluluskan untuk penjawat awam, maka dia meneruskan kegiatan pinjaman secara berterusan.
Namun di situlah titik penyesalan mula timbul kerana salah guna kemudahan pinjaman peribadi. Difahamkan ia bermula dengan RM50,000 namun angka bertambah dari semasa ke semasa mencecah RM20,000 selagi boleh membuat overlapse dengan kelayakan yang ada menerusi pelbagai bank.
Akhirnya, jumlah pinjaman terkumpul sudah mencecah RM200,000 sekaligus membebankan dia untuk menjelaskan komitmen yang dibuat.
Dia agak terkilan kerana pinjaman sebesar itu dibuat tanpa mempunyai perancangan terperinci untuk tujuan yang berguna.
Komitmen bulanan yang tinggi telah memaksa dia memohon penstrukturan semula pembayaran dengan bank agar boleh menyelesaikan baki hutang bersesuaian dengan bajetnya.
Akui kesilapan keputusan kewangan yang dibuat, dia lalu menasihati kepada orang ramai untuk tidak membuat pinjaman peribadi sewenang-wenangnya jika tiada keperluan yang sangat mendesak.
Bagi individu terbabit, pinjaman peribadi boleh membebankan diri jika tidak pandai diuruskan oleh seseorang.