Salah faham, pasangan suami isteri ikhtiar nak zuriat tersambar ‘susu kambing’ sekilo

Salah faham, pasangan suami isteri ikhtiar nak zuriat tersambar ‘susu kambing’ sekilo

 

TERDAPAT sesetengah perkataan yang sama namun membawa pengertian yang berbeza.

Jika penerangan kurang jelas, maka alamatnya kedua-dua pihak yang sedang berkomunikasi mudah terkeliru atau pendek kata, tersalah faham.

Sebagaimana yang dialami lelaki ini, dia berkongsi kisah lucu bagaimana dia dan seorang peniaga tersalah faham gara-gara ‘susu kambing’.

Menurut Mohd Noorazreen Shah Norazman, 35, kisah lucu tersebut bermula apabila dia dan isteri mahu mencari peniaga susu kambing segar kerana sedang berikhtiar mendapatkan zuriat.

“Macam-macam cara kami cuba dan minum susu kambing ni kira salah satu cara kami amalkan dan usaha. Kami nak kisar susu dengan kurma. Saya post dekat status WhatsApp dan Facebook nak cari info orang yang jual susu kambing.

“Banyak response yang saya dapat selepas buat posting dan saya WhatsApp satu persatu nombor pembekal atau peniaga yang saya dapat.

SUSU 1

“Ada yang balas stok habis, ada yang balas nak yang berperisa atau original. Jadi saya anggap mereka faham pertanyaan saya.

“Ada seorang peniaga ni namanya Abang Zaidi… dia balas WhatsApp saya dan beritahu ada tinggal sekilo lagi susu kambing. Saya fikir sekilo tu mungkin dia jual macam santan yang dalam plastik yang dah siap timbang tu,” ceritanya senang disapa sebagai Noorazreen.

Menurut Noorazreen, selepas bersetuju untuk urusan jual beli, isterinya, Norsayidah Mohd Basir kemudian pergi mengambil susu kambing itu di rumah peniaga yang disapa Abang Zaidi di Buloh Kasap dekat Segamat, Johor.

SUSU 2

Namun apabila barang bertukar tangan, isteri Noorazreen memaklumkan susu yang diberikan adalah susu kambing serbuk (susu tepung) dan bukannya susu kambing segar.

“Saya kata pada isteri, tak apa lah nanti boleh bancuh hari-hari bawa bekal pergi kerja. Yang susu segar dari peniaga lain nanti kita kisar dengan kurma.

“Tapi dalam masa yang sama, saya WhatsApp Abang Zaidi dan tanya ‘susu tepung ke bang? Ingatkan dalam bentuk cecair’. Tapi Abang Zaidi tak balas.

“Bila isteri sampai, saya minta dia bancuh sambil-sambil bersembang. Siap isteri suapkan roti berinti mentega dan kaya dalam susu tu. Maghrib tu Abang Zaidi balas WhatsApp. Nak menjerit tak boleh, mengembek tak boleh. Maka kami suami isteri mengekek gelak,” ujar juruteknik yang menetap di Pogoh, Segamat ini.

Mana tidaknya, daripada balasan Abang Zaidi di WhatsApp, rupa-rupanya susu kambing yang dibelinya adalah susu tepung khas untuk anak kambing.

“Abang Zaidi ingat saya nak beli susu kambing (susu untuk kambing). Dia memang jual barang-barang ternakan dan susu kambing tapi susu untuk kambing minum.

“Tapi sebab saya tak beritahu jelas, yang saya nak beli susu untuk saya minum, itulah terjadi salah komunikasi,” ceritanya.

Tambah Noorazreen, selepas hal sebenar terungkai, Abang Zaidi menawarkan untuk membayar kembali wangnya sebanyak RM22.

“Tapi saya kata tak apa, nanti saya sedekahkan kepada orang kampung saya yang ada menternak kambing. Sebab saya dah akad beli dengan Abang Zaidi, dah menikmati pun rasa susu dicicah roti,” katanya berseloroh.

Noorazreen berkata dia sama sekali tidak menyangka perkongsian kisah lucu itu di Facebook menjadi tular gara-gara mencuit hati warganet.

“Selepas viral, ada juga yang komen dan bantu kenalkan produk-produk susu kambing, untuk ikhtiarkan hamil sebagaimana yang mereka pernah cuba dan beroleh hasil. Tapi paling lucu bila baca komen netizen.

“Dalam masa yang sama, saya dan isteri bersyukur kerana ramai yang mendoakan rezeki kami dapat zuriat,” katanya lagi.