Saintis terkejut, orang utan rawat luka sendiri guna tumbuhan
Saintis buat pertama kali berjaya mendokumentasikan tingkah laku seekor orang utan yang dipercayai merawat sendiri luka pada wajah dengan menggunakan tumbuhan hutan.
Menurut CNN, penemuan oleh kumpulan saintis yang bekerja di Indonesia itu telah diterbitkan dalam jurnal Laporan Saintifik pada Khamis.
Rakus, orang utan jantan Sumatra, didapati merawat luka pada wajahnya dengan mengunyah daun Akar Kuning, iaitu sejenis herba tradisional yang digunakan untuk merawat penyakit seperti disentri, diabetes dan malaria.
Orang utan itu pada mulanya menyapu air kunyahan berulang kali pada luka sebelum daun Akar Kuning yang sudah dikunyah ditampal pada luka di mukanya.
Penulis utama kajian, Isabelle Laumer berkata, pasukannya sangat teruja dengan pemerhatian yang dibuat ke atas Rakus, yang berlaku pada Jun 2022 di kawasan kajian Suaq Belimbing di Taman Nasional Gunung Leuser, Indonesia.
Katanya lagi, walaupun spesis primat lain diketahui mengunyah, menelan atau menyapu badan mereka dengan tumbuhan herba, namun saintis tidak pernah melihat mereka menggunakan tumbuhan-tumbuhan untuk merawat luka.
Saintis percaya Rakus memang sengaja menggunakan tumbuhan tersebut untuk merawat luka kerana melakukannya berulang kali dalam proses yang berlangsung beberapa minit.
“Tingkah laku yang mungkin inovatif ini menandakan buat kali pertama pengurusan luka aktif dengan tumbuhan bioligi aktif dalam spesis beruk besar berjaya direkodkan.
Luka pada muka Rakus itu dipercayai berpunca daripada pergaduhan dengan orang utan jantan yang lain. Situasi itu jarang berlaku di kawasan ini kerana ketersediaan makanan dan toleransi antara orang utan yang tinggi,” katanya.
Ia juga menandakan bahawa orang utan di kawasan tersebut jarang tercedera, sekali gus saintis mempunyai peluang yang terhad untuk membuat penemuan tersebut.
Bagi menjawab persoalan bagaimana Rakus mengetahui cara untuk merawat lukanya, saintis percaya salah satu kemungkinannya adalah berpunca daripada “inovasi individu yang tidak disengajakan”.
Rakus mungkin secara tidak senagaja menyentuh lukanya selepas mengunyah daun Akar Kuning dan merasa kesan kelegaan serta-merta yang berpunca daripada sifat analgesic tumbuhan itu.
Keadaan itu kemudian mungkin mendorong Rakus mengulangi tingkah laku tersebut.
Selain itu, saintis juga tidak menolak kemungkinan Rakus belajar kaedah rawatan berkenaan daripada orang utan lain yang berada di hutan berkenaan.