Sahur dan berbuka puasa tidak sempurna demi tugas

Sahur dan berbuka puasa tidak sempurna demi tugas

 

Sudah menjadi asam garam buat petugas barisan hadapan terutama doktor apabila bersahur dan berbuka puasa tidak mengikut masa kerana perlu mengutamakan pesakit.

Bagi Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Teluk Intan, Perak, Dr Samsu Ambia Ismail, bertugas ketika Ramadan memang mencabar berikutan kes dikendalikannya tidak dapat dijangka serta tidak mengira masa.

Kadangkala katanya, dia hanya makan ala kadar bagi mengalas perut kerana tuntutan tugas yang memerlukan khidmatnya lebih menjadi keutamaan.

“Memang sedia maklum Jabatan kecemasan sibuk tidak terkawal kerana macam-macam kes dan bila-bila saja kes datang.

“Kalau berbuka dan sahur tak ikut masa dan ala kadar tak macam orang lain, itu biasalah kerana kes datang tidak boleh dijangka yang kadangkala memang meletihkan.

“Namun, apapun cabarannya itu bukan alasan untuk tidak menunaikan puasa kerana berpuasa tetap kewajipan kita sebagai umat Islam,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi pengalaman bertugas semasa Ramadan, Dr Samsu berkata, dia pernah tidak dapat bersahur kerana mengendalikan satu kes mangsa pergaduhan di Klang, Selangor pada 1996.

“Saya menerima kes lima mangsa cedera dengan keadaan leher mereka dikelar.

“Pada ketika itu saya tak lalu makan sahur apabila rasa hendak muntah kerana tidak tahan bau hanyir darah yang terlalu banyak,” katanya.

Satu lagi kes masih segar dalam ingatannya, apabila dia menyaksikan adegan tembak dilakukan pesakit warga Thailand yang diiring anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2000.

“Ketika hampir waktu berbuka, saya didatangi seorang pesakit dibawa polis untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan selepas dia didapati cedera.

“Tangan lelaki itu bergari, namun entah macam mana dia sempat mencapai pistol polis dan menembak seorang pelatih dan polis.

“Bagi menyelamatkan diri, saya menyorok di belakang meja, namun saya lega dan bersyukur keadaan terkawal selepas pesakit itu melarikan diri.

“Disebabkan kejadian itu, saya terlewat berbuka puasa pada hari itu,” katanya.

Katanya, dia juga hampir terlepas bersahur kerana perlu mengendalikan kes mangsa tanah runtuh yang memusnahkan beberapa kediaman termasuk banglo milik keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera yang juga bekas Pengerusi Affin Bank, Jeneral (B) Tan Sri Ismail Omar di Taman Hillview, Hulu Klang kira-kira 4.30 pagi, 20 November 2002.

“Sebaik menerima maklumat awal, saya yang bertugas syif malam bergegas ke tempat kejadian untuk mengendalikan tiga mangsa yang meninggal dunia, malah saya difahamkan ada lagi masih tertimbus.

“Dalam kelam-kabut itu, saya tidak dapat bersahur dengan sempurna, hanya sempat meneguk air sekadar syarat buat mengalas perut,” katanya yang 28 tahun bertugas.

Di sebalik kesibukan tugas, dia juga tidak lupa berkongsi rezeki dengan pesakit terutama mereka yang datang tanpa ditemani waris.

“Kalau kita tengok pesakit yang datang itu tunggu lama apatah lagi tiada waris bersamanya, kita ambil makanan untuk doktor di dapur hospital lalu berikan kepadanya,” katanya.