Saf wanita putus & solat berkelompok, perkongsian ini dedah realiti sebenar berjemaah di masjid

Saf wanita putus & solat berkelompok, perkongsian ini dedah realiti sebenar berjemaah di masjid

 

Sejak semalam, kecoh di media sosial mengenai isu gambar jemaah wanita dilihat tidak merapatkan saf ketika solat berjemaah di sebuah masjid.

Umat Islam sedia maklum bahawa setiap individu yang bersolat jemaah tak kiralah di masjid, surau atau di rumah sekalipun wajiblah merapatkan saf antara satu sama lain.

Susulan gambar berkenaan, netizen melontar teguran mereka terhadap situasi yang berlaku dan ada yang beranggap tindakan muslimah yang tidak merapatkan ini sebagai pentingkan diri sendiri.

Malah ada juga yang mengatakan inilah sebabnya para wanita lebih digalakkan untuk bersolat di rumah dari solat berjemaah di masjid.

Namun begitu, sebahagian netizen pula berpendapat antara sebab ia berlaku adalah jemaah memilih tempat yang selesa seperti mudah untuk menyandar, bawah kipas, dekat dengan pintu keluar dan sebagainya.

Di samping itu, mereka dikatakan malas mahu bangun dan berpindah dek terlalu banyak barang yang perlu dialihkan.

Bukan itu sahaja, wanita juga memilih untuk duduk bersama kenalan rapat sahaja kerana lebih selesa berbanding dengan orang lain.

Sementara itu, menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sebaik-baik saf bagi wanita adalah di bahagian paling belakang sekiranya tiada pemisah antara jemaah lelaki dan wanita.

“Namun jika terdapat pemisah antara jemaah lelaki dan wanita, maka keutamaan saf wanita adalah di bahagian paling hadapan.

“Begitu juga jika wanita solat berjemaah dengan kumpulan wanita sahaja, maka saf hadapan adalah lebih utama,” katanya.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab pertanyaan berhubung keadaan yang mana ada para wanita berpusu-pusu memenuhkan saf di bahagian belakang sehingga menyebabkan saf hadapan kosong dan menyukarkan jemaah yang baru hadir untuk pergi ke bahagian saf hadapan.

Jika enggan rapatkan saf secara sempurna, lebih baik solat di rumah

Jika jemaah wanita yang mengikuti solat enggan merapatkan saf secara sempurna, lebih baik mereka solat di rumah.

Itu teguran mantan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman selepas tular gambar saf wanita yang mengikuti solat Tarawih dengan kelompok sendiri.

Abdul Rahman berkata, saf berkelompok sendiri seperti demikian menunjukkan saf itu tidak sempurna.

Katanya, saf yang sempurna ialah saf yang lurus penuh, tidak ada kelompok dan tidak ada renggang jarak antara satu dengan yang lain.

“Mesti rapat, itu saf yang diajar oleh Rasulullah SAW. Tujuannya ialah supaya kita bersatu hati, sebab itu antara saf seorang dengan seorang yang lain adalah rapat supaya terasa kemesraan itu antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, pada Ramadan ramai umat Islam tidak kira lelaki atau wanita hadir ke masjid untuk mengambil peluang solat tarawih.

Katanya, solat Tarawih adalah sunat untuk berjemaah dan jika berkelompok, ia tidak mengambil hikmah tujuan berjemaah untuk rapat, mesra, mengenali antara satu dengan yang lain bukan saja waktu bersolat malah selepas melakukan ibadah.

“Saf dalam solat itu tujuannya bagi kita menjalinkan ukhwah. Sebab itu orang yang tidak mahu rapat seperti kita lihat, dia ada masalah hati,” katanya.

Beliau berkata, antara kesempurnaan saf solat jemaah ialah turutan lelaki di hadapan, saf kanak-kanak dan kemudian saf wanita.

“Rasulullah SAW bersabda bahawa sebaik-baik saf bagi lelaki di hadapan dan sebaik-baik saf bagi perempuan adalah paling belakang sekali dan di tengah-tengahnya ada kanak-kanak.

“Tujuan hikmahnya kanak-kanak boleh diperhatikan oleh ibunya di belakang.

“Kalau betul kita ikut sistem begitu, mungkin kanak-kanak terkawal dan tidak mengganggu.

“Mereka tidak bermain-main kerana diperhatikan oleh saf ibu di belakang,” katanya.

Abdul Rahman berkata, diharapkan kelebihan solat tarawih dapat menarik orang yang sebelum ini jarang berjemaah berminat ke masjid dan berkekalan selepas Ramadan.

“Itu tujuan atau hikmah mengenai solat berjemaah. Dapat mengenali antara satu sama lain sebagaimana Rasulullah SAW bahawa baginda kenal dan mengambil tahu semua ahli jemaah yang solat di masjid pada zaman baginda,” katanya.