Saarani umum portfolio Exco Kerajaan Negeri Perak

Saarani umum portfolio Exco Kerajaan Negeri Perak

Selepas dua minggu menerajui pentdbiran kerajaan Perak, Menteri Besarnya, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (EXCO).

Selain menggalas jawatan Menteri Besar, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan turut memegang portfolio Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC.

Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya pula bertanggungjawab bagi portfolio Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor) dan Adun Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO).

Adun Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun (Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam) dan ADUN BOTA, Khairul Shahril Mohamed (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia).

Adun Semanggol merangkap Pesuruhajaya PAS Perak, Razman Zakaria (Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, manakala Adun Selama, Mohd Akmal Kamarudin (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau).

Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Adun Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri (Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil).

Portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia dipegang Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud, manakala Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan).

Senarai portfolio itu diumumkan Saarani pada majlis secara ringkas yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Empat daripada Exco adalah daripada UMNO, iaitu Mohd Zolkafly, Shahrul Zaman, Wan Norashikin dan Khairul Shahril, manakala Adun PAS ialah Razman dan Mohd Akmal, manakala Abdul Yunus, Nolee Ashilin dan Zainal Pahzi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Keempat-empat Adun UMNO itu bersama Saarani adalah Exco ketika kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, manakala Zainol Fadzi adalah penasihat Menteri Besar ketika itu.

Exco lain yang kekal di bawah kepemimpinan Saarani adalah Razman, Mohd Akmal dan Abdul Yunus.

Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perak meletak jawatan Menteri Besar Perak pada 5 Disember selepas hilang majoriti sokongan di Dewan Udangan Negeri (Dun).

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/saarani-umum-porfolio-exco-kerajaan-perak-274421