Datuk Saarani Mohamad tidak meletakkan sasaran 100 hari sebagai penanda aras pencapaiannya dalam mengemudi pentadbiran di Perak sebagai Menteri Besar ke-14.

Selain tidak berminat dengan ‘sasaran pencapaian 100 hari’, beliau turut menyifatkan tugas Menteri Besar seperti larian maraton yang panjang.

Katanya sebagai Menteri Besar beliau harus berterusan dalam merancang pembangunan negeri demi kebaikan rakyat tanpa mengira mana-mana bilangan tempoh hari.

“Mentadbir negeri pada saya macam maraton. Kena lari secara berterusan, tapi kita tahu ‘lap’ mana kita perlu laju, ‘lap’ mana kita perlu perlahan, Itu pendapat saya.

“Walau bagaimanapun ramai orang menggunakan 100 hari sebagai ukurkan. Kepada saya ia bukanlah ukuran yang patut kita berikan kerana 100 hari ini baru tiga bulan.

“Tapi macam mana pun kita cuba sedaya upaya, kerana kita tak boleh tunggu apa-apa. (Misalnya) Covid-19 ini kita tidak nampak sama ada akan berhenti dalam tempoh terdekat atau tidak, maka kita buat (pembangunan) dalam tempoh terdekat setakat mana kita mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu pemberita pada Majlis Jamuan Mesra di Kampung Bongor dekat sini, pada Sabtu.

Sementara itu katanya kerajaan negeri sedang giat merancang pelbagai inisiatif untuk kebaikan rakyat dalam tempoh tiga bulan pertama ini antarnya ‘Blueprint’ Pembangunan Negeri dan inisiatif ‘Perak Bumi Lestari’.

“Saya yakin walaupun tidak dalam tempoh 100 hari, namun kita tetap ada perancangan untuk negeri. Dan saya percaya ianya boleh dilaksanakan bersama-sama kakitangan kerajaan negeri dalam terus memacu pembangunan negeri,” jelas beliau.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 10 Disember tahun lalu.

Pelantikan Saarani dibuat bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapat kepercayaan majoriti dalam undi percaya terhadap beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu sebelum itu. – SP