Saarani bentang Belanjawan 2021 selepas 7 hari dilantik MB Perak

Saarani bentang Belanjawan 2021 selepas 7 hari dilantik MB Perak

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad membentangkan Belanjawan 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 hari ini, selepas genap tujuh hari dilantik memegang jawatan berkenaan.

Beliau ketika membentangkannya berkata, menyedari pentingnya belanjawan berkenaan dibentangkan seberapa segera, beliau bersama barisan Exco kerajaan negeri yang bermesyuarat pada Isnin lalu sebulat suara bersetuju mengguna pakai cadangan belanjawan yang disediakan sebelum ini.

“Hari ini, genap tujuh hari perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar, dalam tempoh yang singkat itu sangat terbatas waktu untuk saya.

“Berasaskan kepada keterbabitan saya secara langsung dalam proses penyediaan cadangan peruntukan kewangan bagi 2021, maka adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Menteri Besar yang baharu untuk merangka semula ucapan belanjawan ini,” katanya.

Beliau berkata, pada pembentangan belanjawan yang lalu, kerajaan negeri mengunjurkan defisit sebanyak RM103.2 juta bagi 2020.

“Bagaimanapun, berdasarkan kepada situasi semasa berakhir 30 November 2020, kedudukan kewangan adalah defisit RM86.4 juta, iaitu kurang 16.3 peratus atau RM16.8 juta berbanding unjuran asal.

“Sehingga 31 Disember 2020, defisit ini dijangka dapat dikurangkan kurangnya kepada RM40 juta,” katanya.

Saarani berkata, pihaknya akan meneruskan agenda pembangunan mengikut perancangan yang dibuat sebelum ini dan pada masa akan datang yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

Katanya, bertemakan ‘Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif’ terus kekal menjadi tema Belanjawan 2021.

“Pemilihan meneruskan tema yang sama adalah bagi menunjukkan fokus kerajaan negeri dalam meneruskan kesinambungan perancangan pembangunan yang sudah dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/653766/saarani-bentang-belanjawan-2021-perah-hari-ini