Saarani angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak kali kedua

Saarani angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak kali kedua

 

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad sah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada Isnin.

Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak.

Terdahulu, dalam kenyataan bersama, BN dan Pakatan Harapan (PH) Perak bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Tan Sri Anuar Zaini memaklumkan, PH dan BN sudah mempersembahkan nama seramai 33 Adun yang menyokong gabungan itu kepada Sultan Nazrin.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh 26 kerusi DUN, manakala PH pula menawan 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.

Dilahirkan pada 13 Mac 1961 di Kampung Raban, Lenggong, Saarani memulakan kerjaya sebagai guru pada 1982 setelah menamatkan pengajian Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) di Universiti Teknologi Malaysia.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Pengurusan Sumber Manusia) daripada Open University Malaysia (OUM) itu menyertai UMNO pada 1989 dan menjadi ADUN Lenggong dari 1999 hingga 2004.