Rusuhan bola sepak di Indonesia, 127 orang disahkan maut

Rusuhan bola sepak di Indonesia, 127 orang disahkan maut

 

Lebih daripada 120 individu dilaporkan maut selepas kekecohan dan keganasan susulan perlawanan liga bola sepak di Indonesia, lapor The Guardian.

Kelab Arema FC tewas 3-2 kepada Persebaya dalam perlawanan di Malang, Jawa Timur, pada malam Sabtu.

Ketua pejabat kesihatan Malang, Wiyanto Wijoyo berkata, lebih 120 orang meninggal dunia.

Katanya, pihak berkuasa masih mengenal pasti jumlah mangsa yang cedera.

“Lebih daripada 120 orang meninggal dunia selepas huru-hara, kesesakan dan terpijak dan lemas,” kata Wiyanto sambil menambah jumlah korban melebihi 100 orang dan mereka dihantar ke hospital berdekatan.

Pergaduhan tercetus selepas ribuan peminat Arema meluru ke padang selepas pasukan mereka kalah.

Pemain Persebaya serta-merta meninggalkan padang, tetapi pemain Arema yang masih di padang turut diserang.

Laporan mengatakan kematian turut disebabkan polis melepaskan gas pemedih mata menyebabkan panik dalam kalangan penonton di Stadium Kanjuruhan.

Liga Indonesia digantung selama seminggu susulan insiden berkenaan, namun tidak menyatakan secara spesifik jumlah mangsa yang maut akibat kejadian itu.