Rupanya beras & barang dapur yang dibuang milik bekas MP Kuala Krau, tampil perjelas sebab dilupuskan

Rupanya beras & barang dapur yang dibuang milik bekas MP Kuala Krau, tampil perjelas sebab dilupuskan

 

Berhubung isu tular pembuangan barangan keperluan seperti beras, tepung dan sardin di Kuala Krau, Pahang, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mengarahkan siasatan segera kejadian tersebut.

Menerusi hantaran di jaringan X, Mohamad Sabu turut menyatakan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan.

Susulan isu tular ini juga, Ketua UMNO Kuala Krau tampil memohon maaf diatas insiden berkenaan.

Menerusi satu kenyataan, Dato’ Sri Dr Haji Ismail mengaku bertanggungjawab dalam isu berkenaan. Jelasnya, barangan berkenaan merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Beliau turut menjelaskan barangan keperluan tersebut disediakan menggunakan peruntukan peribadi sebelum tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pembelian barangan dapur tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri. Dan juga tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh COVID-19 atau persiapan banjir,” katanya.

Tambahnya lagi, tindakan (pembuangan) tersebut juga kerana telah menerima aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan berkenaan.

“Hasil siasatan di stor simpanan mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beberapa barangan telah dicemari bubuk atau kutu beras.

“Barangan lain juga tidak lagi sesuai diagihkan kepada orang ramai kerana sudah tercemar,” katanya.

Sebahagian daripada beras juga katanya telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik.