Rumah Sudirman hanya tinggal tangga batu

Rumah Sudirman hanya tinggal tangga batu

 

HARIMAU mati meninggal belang, manusia mati meninggalkan nama.

Namun pepatah ini bagaikan tidak bermakna apabila melihat keadaan rumah penyanyi tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang terletak di Kampung Tok Embun, Temerloh, Paha

Menerusi hantaran di Facebook ‘I Love Pahang, beberapa keping gambar yang menunjukkan keadaan terkini rumah bekas penghibur nombor satu Asia itu membesar, berada dalam keadaan amat menyedihkan.

Siapa sangka, rumah yang dulunya sering dikunjungi peminat, rakan artis mahu pun wartawan kini hanya tinggal tangga batu untuk menyambut pelawat yang mengunjunginya.

Ketika hayat Sudirman, rumah berkonsepkan kampung teratak kayu itu tersergam indah dan Allahyarham sering merakam memori di rumah itu.

“Beginilah keadaan terkini rumah Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad di Kg Tok Embun, Temerloh, Pahang.

“Rumah ini ditinggalkan sepi sehingga dipenuhi belukar selepas musnah dalam satu kebakaran pada tahun 2008. Belum nampak sebarang usaha dari pihak berwajib untuk memulihara kembali rumah legenda seni tanah air ini.

“Jika tidak di peringkat Persekutuan sekurang-kurangnya mungkin Kerajaan Negeri kelahirannya Pahang berusaha untuk memulihara sebagai tanda penghargaan kepada tokoh yang telah berjasa untuk negeri Pahang dan juga negara,” catat pengendali akaun Facebook itu.

Tinjauan Malaysiapost di ruangan komen, rata-rata netizen melahirkan perasaan sedih dan terkejut apabila melihat keadaan rumah penyanyi Malaysia pertama yang mencipta nama di Albert Hall, London itu.

Terdapat netizen yang menyatakan kekesalan kerana rumah itu tidak dikawal selia dan dipelihara oleh pihak berwajib yang seolah-seolah Sudirman tidak pernah berjasa kepada negara.

“Hari tu ada viral masjid di area raub@lipis yg menjadi tempat perjumpaan para pejuang pahang yang terbiar. Hari ni viral lagi rumah lagenda Sudirman yang terbiar.

“Sepatutnya benda macam ni boleh jadi bahan sejarah yang Bernilai tinggi untuk dilihat dan dilawati oleh rakyat seantero dunia yang mengetahui kisah sejarah tokoh-tokoh ini.

“Agensi yang menyelia artifak dan bahan sejarah di negeri pahang patut mengambil tindakan proaktif dalam membaik pulih, melindungi dan mempromosi bahan sejarah yang bernilai tinggi ini kerana ia bakal menjana pendapatan kepada kerajaan negeri juga akhirnya.

“Mohon tindakan segera dari kerajaan negeri pahang,” tulis J Samsudin Safian.

Bagaimanapun, setakat ini tiada maklumat daripada waris Sudirman berkenaan kenapa rumah itu dibiarkan sebegitu rupa.

Sudirman yang terkenal dengan lagu-lagu rakyat menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992 kerana radang paru-paru.