Rumah pemain Selangor FC, Khuzaimi Piee dipecah masuk

Rumah pemain Selangor FC, Khuzaimi Piee dipecah masuk

 

Kediaman pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor, di sini, semalam.

Menurut laporan polis yang beliau kongsikan di Instagram, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.

Laporan polis dibuat Khuzaimi jam 11:30 malam selepas pulang daripada sesi latihan berkenaan.

“Pada jam lebih kurang 9 malam semasa saya sampai di rumah saya dapati pintu pagar depan dan belakang telah terbuka.

“Saya buat pemeriksaan di dalam rumah dan mendapati ada barang-barang yang telah hilang seperti motosikal jenis Yamaha Y15, empat beg silang pelbagai jenama dan pasport.

“Hasil pemeriksaan awal anggaran dan lain-lain kerugian saya tidak pasti,” menurut laporan polis yang dibuatnya.

May be an image of text that says 'khuzaimipiee 3h From Fromcreatemode create mode Kepada sesiapa yang terlihat motor y15 movistar biru plat RV1700 mintak maklum kepada saya atau balai polis yang terdekat Send message'

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi memberitahu akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu hari ini.

Awal bulan lalu, negara dikejutkan dengan kejadian membabitkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang cedera akibat disimbah asid.

Kejadian pada 5 Mei itu dipercayai dilakukan dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya kira-kira jam 5 petang.

Susulan itu, tonggak utama Selangor FC berkenaan mengalami kecederaan melecur tahap empat di beberapa bahagian tubuhnya dan menerima rawatan di hospital.

Sebelum kejadian menimpa Faisal, satu lagi insiden membabitkan pemain bola sepak ialah ke atas pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid pada 2 Mei.

Akhyar mengalami kecederaan selepas dipukul di bahagian kepala dan kaki dengan menggunakan besi boleh laras dalam kejadian samun berhampiran kondominium kediamannya dekat bandar Kuala Terengganu.

Berikutan itu, pemain kelahiran Kedah itu terpaksa dikejarkan ke hospital sebelum menerima empat jahitan di kepala dan dua jahitan di kaki serta kerugian RM4,800.

Pada 7 Mei pula, cermin belakang kereta dipandu pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim dipecahkan berhampiran pusat latihan JDT di Sri Gelam, Johor Bahru.

Dalam kejadian jam 10.05 malam itu, Safiq yang sedang memandu tiba-tiba didatangi sebuah motosikal dinaiki dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang keretanya.