Rumah pelacuran untuk warga asing: Rosyam Nor perlu bertaubat – Mufti

Rumah pelacuran untuk warga asing: Rosyam Nor perlu bertaubat – Mufti

 

Pandangan pelakon, penerbit dan usahawan, Datuk Rosyam Nor bahawa pusat pelacuran perlu ada untuk pekerja asing di negara ini jelas tersasar dari syariat Islam, kata Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Bungsu berkata pelacuran adalah suatu yang jelas keharamannya sama ada untuk warga asing mahupun rakyat Malaysia.

“Malah untuk kita bagi non-muslim di negara kita ni pun tak boleh juga. Walaupun mungkin pada pandangan mereka, mereka takda hukum haram kan? Sebab kita memerintah, kita yang jaga negara ini, maka kita tidak boleh benarkan perkara itu.

“Jadi, ini satu pandangan yang tersasar jauh daripada syariat Islam dan mesti dibetulkan lah. Dia (Rosyam Nor) kena taubat,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Rosyam Nor di podcast Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik di TikTok Suhan Channel semalam, yang dilaporkan berkata pusat pelacuran perlu ada untuk pekerja asing di negara ini.

Rosyam Nor dilaporkan berkata warga asing yang datang ke Malaysia ketika ini untuk bekerja kira-kira 3 juta orang di mana kebanyakan mereka meninggalkan isteri masing-masing di negara asal mereka.

Katanya, gadis tempatan berisiko menjadi mangsa rogol apabila kelompok warga asing ini gagal melepaskan nafsu mereka pada tempat selayaknya.

“Sekarang ini pendatang yang datang dekat negara kita ini ada lebih kurang 3 juta, yang bekerja dekat negara kita. Bini semua tinggal. Nama pun lelaki, kalau dia tak keluarkan (lepaskan nafsu) faham kan maksud saya? Dia nak tonjolkan dekat mana?” katanya.

Mengulas lanjut, Bungsu berkata apabila Allah mengharamkan suatu amalan, pasti ia akan memberi kesan buruk kepada diri, masyarakat dan negara.

Tegas beliau, cadangan membuka pusat pelacuran itu adalah perbuatan menghalalkan perkara yang haram dan ia akan menambah kerosakan kepada masyarakat dari sudut perzinaan dan pelacuran.

“Ketiga, kesannya tentulah ia akan merosakkan nasab keturunan manusia,” kata Bungsu.