Rumah Ngaji JPN Perak dilancar sempena Ramadan
Rumah Ngaji Perak terus berusaha menambah Rumah Ngaji baharu di negeri ini dan terkini di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sempena Ramadan.
Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, pihaknya menyambut baik dan menghargai komitmen JPN Perak untuk mewujudkan Rumah Ngaji di jabatan tersebut.
Menurutnya, penubuhan Rumah Ngaji baharu menjelang Ramadan akan menyemarakkan lagi aktiviti membaca dan memahami al-Quran.
“Kita amat berharap melalui penubuhan Rumah Ngaji di JPN Perak ini, program Rumah Ngaji dapat disemarakkan ke sekolah-sekolah di negeri ini.
“Kita juga mahu mengajak orang ramai membaca dan memahami al-Quran seterusnya membentuk akhlak mulia yang diajar di dalam al-Quran,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rumah Ngaji JPN Perak sempena Program Ihya Ramadan di Pejabat JPN Perak, di sini pada Isnin.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD) Perak, Mohamad Fauzi Mahson.
Menurutnya, program Rumah Ngaji bertujuan mengajak masyarakat supaya celik al-Quran dengan bimbingan tenaga pengajar berkelayakan.
Jelas Normah Hanum, penubuhannya pula bukan satu paksaan malah peserta juga hadir mengikuti program secara rela hati. – SH