‘Rumah’ burung hupo dikawal ketat di Taman Tasik Taiping

‘Rumah’ burung hupo dikawal ketat di Taman Tasik Taiping

Zoo Taiping & Night Safari meminta orang ramai supaya tidak menceroboh dan membuat bising di kawasan pembiakan burung hupo atau nama saintifiknya Upupa epops longirostris di Taman Tasik Taiping di sini.

Pengarahnya Dr Kevin Lazarus, berkata pihaknya bimbang perbuatan itu boleh mengganggu pembiakan burung itu yang dikesan membuat sarang di dalam lubang sebatang pokok di taman berkenaan kira-kira dua minggu lalu.

“Kita percaya pasangan burung bermigrasi betina itu sedang mengeram telur di dalam lubang di pohon berkenaan dan dijangka anaknya menetas dalam tempoh tiga minggu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, selain Malaysia, burung hupo juga ada di Thailand, Myanmar dan Vietnam. Ketika ini banyak spesies burung bermigrasi berada di sekitar Taman Tasik Taiping dan zoo itu, iaitu fenomena biasa pada setiap bulan Mac dan April.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa pemerhati burung berkumpul berdekatan pokok berkenaan untuk merakam detik burung hupo memberikan makanan kepada pasangannya yang sedang mengeram.

Peminat burung Lee Ong, 45, berkata dia tertarik untuk datang menyaksikan sendiri burung itu yang jarang dapat dilihat, selepas kehadiran burung berkenaan tular menerusi media sosial.

Dia juga berharap orang ramai termasuk pemerhati burung sepertinya tidak mengganggu proses pembiakan burung berkenaan agar populasi unggas itu bertambah di negara ini. – Bernama