Rumah Bonda pandang serius dakwaan ‘Mona Din’ & ‘Aliff Ahmad’, kebocoran maklumat di media sosial

Rumah Bonda pandang serius dakwaan ‘Mona Din’ & ‘Aliff Ahmad’, kebocoran maklumat di media sosial

 

Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur (Rumah Bonda) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat sulit penghuni rumah kebajikan itu.

Dalam satu kenyataan, pertubuhan itu memandang serius kesemua dakwaan yang ditimbulkan oleh Facebook “Mona Din” dan Facebook “Aliff Ahmad”.

“Pertubuhan Rumah Bonda juga memandang serius percubaan pihak-pihak tertentu yang telah menghubungi dan mengganggu keluarga-keluarga angkat, menyebarkan maklumat dan gambar mereka di media sosial serta mendesak mereka untuk membuat laporan polis palsu dengan mendakwa berlaku kegiatan penjualan bayi di rumah perlindungan Rumah Bonda.

“Pertubuhan Rumah Bonda telah merujuk perkara ini dengan pihak peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini tular di media sosial gambar kanak-kanak yang lahir di rumah perlindungan tersebut.

Kanak-kanak terbabit dikatakan anak kepada seorang salah seorang saksi kes melibatkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Pengguna media sosial mendedahkan kanak-kanak tersebut kononnya telah ambil sebagai anak angkat oleh seorang artis.

Menurutnya, Rumah Bonda merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Rumah perlindungan itu menafikan dakwaan berlaku permerdagangan bayi dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai dakwaat tersebut.

Jelasnya, rumah perlindungan itu menyediakan termpat kepada remaja dan wanita hamil tanpa nikah; remaja dan wanita teraniaya; remaja dan wanita yang terlibat dengan gejala sosial.

Rumah tersebut juga memberi perlindungan sementara kepada bayi yang dilahirkan di luar nikah dan tidak diterima keluarga; serta menjaga bayi dan kanak-kanak yang sedang menjalani kes-kes mahkamah buat sementara waktu.

“Sejak penubuhannya, rumah perlindungan Rumah Bonda telah menempatkan keseluruhan seramai 62 orang remaja dan wanita hamil serta wanita teraniaya dan seramai 50 orang bayi telah dibantu untuk dilahirkan di hospital secara selamat,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Perintah Mahkamah Kanak-Kanak juga ada menghantar kanak-kanak yang tiada waris dan remaja hamil luar nikah yang memerlukan perlindungan ke rumah perlindungan Rumah Bonda.