Rosmah sebak, menangis minta belas kasihan

Rosmah sebak, menangis minta belas kasihan

 

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor,70, didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Menurut laporan Harian Metro, keputusan itu dibuat selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. Menurutnya, tertuduh didapati bersalah atas semua tuduhan tersebut.

Kini, Rosmah akan mengemukan rayuan dan prosiding tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Poh Yih Tinn.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.

Dalam pada itu, Rosmah menangis ketika memohon Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur agar bersikap belas ihsan dan lebih berperikemanusian dalam menentukan hukuman terhadapnya. Jelas Rosmah, beliau tidak pernah meminta rasuah atau menyeleweng wang dari mana-mana pihak.

“Tolong jadi lebih belas ihsan, jadi lebih berperikemanusiaan. Jika ini boleh berlaku kepada saya, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, kepada isteri anda, anak anda atau sesiapa sahaja pada masa hadapan.

“Mereka telah lakukannya (hukum) kepada suami saya agar kami menanggung sengsara.

“Kami sedang menanggung sengsara, anak-anak saya sengsara. Tolong lihat saya sebagai seorang wanita kini yang terpaksa memikul tugas seorang bapa. Tolong jadi lebih berperikemanusiaan,” ujarnya dalam nada sebak.

Rosmah didapati bersalah meminta RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Difahamkan, wang berkenaan adalah sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.