‘Rosmah sangat berkuasa ke atas Najib’

‘Rosmah sangat berkuasa ke atas Najib’

 

Ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, memaksa jurubank Tim Leissner untuk memberikan “derma” kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti).

Menurut keterangan Leissner di mahkamah New York pada 22 Feb, dia menyatakan dalam e-mel kepada bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng bahawa Low “mengejarnya” untuk memberikan derma itu.

“Saya sebut di sini bahawa Low juga menghantar mesej kepada saya mengenai sumbangan ini dan (tindakan) dia mengejar saya akan membuat saya gila,” katanya kepada mahkamah.

Pendakwa Drew Rolle: Dan apa yang defendan (Ng) katakan sebagai jawapan kepada anda?

Leissner: Saya tahu. Buatlah benda berfaedah. Adakah kamu mendapat teks bahawa mendatangkan kemarahan R adalah serius? Dia kata biarkan dia tenang minggu depan, tapi pada hujung minggu depan, jika tiada cek, kita perlu sedia secara peribadi.

Rolle: Apabila defendan menulis, petikan, kemarahan R adalah serius, apa yang anda faham dia cakap tentang apa?

Leissner: Pemahaman saya Rosmah Mansor, isteri Najib (Abdul Razak), perdana menteri (ketika itu), sangat kecewa kerana sumbangan itu mengambil masa yang lama.

Bakti adalah kumpulan isteri-isteri ahli parlimen dan menteri kabinet yang menumpukan kerja amal dan ditubuhkan pada 1977. Isteri perdana menteri mempengerusikan Bakti.

‘Hebatnya pengaruh Rosmah terhadap Najib’

Leissner menjelaskan dalam perbicaraan bahawa untuk mendapatkan perjanjian dengan kerajaan Malaysia, dia telah berurusan dengan Low.

Low kemudian membuat dua permintaan kepada Leissner pada tahun 2009: Pertama dia perlu mendapatkan pekerjaan di Goldman Sachs untuk tiga anak Najib. Kedua, dia “menyokong” kerja kebajikan yang dibuat Rosmah.

Leissner memberitahu mahkamah bahawa menderma kepada Bakti akan membolehkan Goldman Sachs “meneruskan kerja mereka” dan “memperbaiki hubungan (mereka) dengan keluarga perdana menteri itu”.

“Rosmah, saya kenal sejak bekerja di Malaysia, sangat berkuasa ke atas suaminya, pengaruhnya terhadapnya sangat besar, dan oleh itu, apabila permintaan pertama itu datang, ia benar-benar cuba memanjangkan hubungan kami dengannya dengan memberi sesuatu nilai yang merupakan sumbangan kepada kerjakebajikannya yang akan menjadikan dia kelihatan baik,” katanya.

Ditanya apakah Goldman Sachs biasa menerima permintaan untuk memberikan sumbangan, Leissner berkata dia tidak pernah menerima permintaan sedemikian daripada kerajaan atau individu berkaitan kerajaan sebelum ini.

Dia berkata Goldman Sachs mempunyai skim bernama Goldman Sachs Gives (GSG) yang merupakan peruntukan kepada sumbangan amal yang dibuat oleh rakan kongsi Goldman Sachs.

Derma ‘jumlah besar’

Pada masa itu, Leissner adalah ketua Goldman Sachs bagi Asia Tenggara.

“Saya tidak boleh sentuh wang itu untuk kegunaan peribadi saya sendiri, tapi saya boleh mendedikasikannya untuk sumbangan amal.

“Jika saya gunakan wang terkumpul atau dana daripada kumpulan itu, ia adalah satu keperluan untuk melalui proses pemeriksaan Goldman Sachs.

“Pemeriksaan itu termasuk oleh pasukan pematuhan undang-undang dalaman kami. NGS Gives adalah pasukan yang sebenarnya, dan peguam luar, juga, yang akan melakukan pemeriksaan itu,” katanya.

Pada akhirnya, Leissner berkata dia membuat sumbangan sebanyak AS$300,000 (RM1.2 juta) yang disifatkannya sebagai “jumlah yang besar”.

Leissner adalah saksi utama dalam perbicaraan jenayah terhadap Ng, yang dituduh melanggar undang-undang anti-rasuah AS dan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Ng pernah menjadi kakitangan bawahan Leissner di Goldman Sachs. Leissner mengaku bersalah atas tuduhan serupa pada 2020 dan didenda AS$44 juta.

Goldman Sachs telah dikenakan sekatan di AS. Firma itu juga berdepan tindakan pihak berkuasa Malaysia yang berakhir dengan perjanjian penyelesaian yang besar.

Goldman Sachs telah membantu mengumpul AS$6.5 bilion untuk 1MDB, yang ditubuhkan pada 2009 sejurus selepas Najib menjadi perdana menteri dan menteri kewangan.

Pihak berkuasa AS dan Malaysia percaya kebanyakan wang yang diperolehi telah dibazirkan.