Rokok putih, kretek bernilai RM 1 juta dirampas – JKDM Perak

Rokok putih, kretek bernilai RM 1 juta dirampas – JKDM Perak

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas 1.4 juta batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai sekitar RM1 juta menerusi satu serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Saujana Bakti, Jalan Kampung Banjar di Teluk Intan pada 31 Oktober lalu.

Pengarahnya, Dr Mohamad Saprin berkata serbuan ke atas rumah yang tidak berpenghuni ketika operasi dijalankan itu atas maklumat orang awam.

“Hasil serbuan, JKDM telah berjaya mengesan sebuah premis rumah yang disyaki menyimpan rokok yang tidak di bayar cukai.

“Setalah membuat intipan, JKDM Mendapati rumah berkenaan rumah kosong dan JKDM telah memecah masuk rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah  rokok telah di simpan dan tiada sebarang dokumen atau bukti menunjukkan bahawa rokok-rokok berkenaan telah dicukai,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Malah katanya terdapat rokok yang menggunakan setem palsu keluaran syarikat jenama rokok berkenaan disyaki bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

{“uid”:”BA89BC46-CB43-4BF2-90BE-3A2C229B430C_1604461911817″,”source”:”other”,”origin”:”gallery”}

Tambahnya pihaknya mempercayai rokok berkenaan kemungkinan dijual secara terbuka selain pada masa sama, usaha mengesan pemilik kediaman berkenaan masih dijalankan bagi tujuan membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata JKDM merampas lebih 200 botol minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai tidak dicukai susulan serbuan ke atas sebuah kedai runcit di Bandaraya Ipoh pada 30 Oktober.

Katanya kesemua minuman keras yang disimpan di stor kedai tersebut dianggarkan bernilai RM40,000.

Susulan itu seorang pemborong dan pemilik kedai yang berumur lingkungan 40’an telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengimportan atau bukti yang menunjukkan bahawa minuman-minuman keras itu telah diimport ke negara ini secara sah.

“Susulan itu dua lelaki tempatan berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Tambah Mohamad, kesemua minuman keras yang dijual 20 ke 30 peratus di bawah harga pasaran itu dipercayai menyasarkan pembeli yang bakal menyambut perayaan besar pada November dan Disember ini.

“Siasatan awal mendapati kesemua minuman keras bukan dari negara ni. Justeru kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti di mana dan bagaimana ia boleh masuk ke negara ini secara tidak sah,” katanya lagi.

Ujar beliau, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika disabit salah, pihak terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM100, 000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan bagi kesalahan pertama atau RM500, 000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya yang mana lebih tinggi.

Sumber: Perak Today