Tema ‘roadblock’ dengan aksi Superman naik RXZ buat ramai terhibur
Setiap tahun, sambutan Hari Kebangsaan akan disambut dengan meriah menandakan semangat dan cinta rakyat kepada negara.
Paling dinantikan semestinya perarakan daripada pelbagai kontinjen pasukan unit beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.
Ketika mata tertumpu kepada sambutan di peringkat Persekutuan yang ditayangkan di kaca televisyen, sambutan di peringkat negeri juga tidak kurang meriahnya.
Salah satunya adalah perarakan tema sekatan jalan raya yang dipersembahkan oleh anggota polis yang menyertai sambutan peringkat negeri yang diadakan di Pahang.
Menerusi video yang dikongsikan @barneyyy_89 di TikTok, dapat dilihat beberapa prop yang digunakan adalah kelengkapan-kelengkapan sekatan jalan raya yang selalu kita lihat.
Selain itu, anggota polis yang menggayakan aksi seperti sedang bertugas dalam sekatan jalan raya sambil membawa senjata api turut kelihatan.
Namun, mata tentu lebih tertumpu pada kelibat seorang penunggang motosikal yang melakonkan gaya fly atau Superman di atas motosikal jenis Yamaha RXZ.
Penampilan karakter penunggang motosikal yang mengenakan rambut palsu dan memakai cermin mata itu seolah-olah menjadi watak utama dalam perarakan berkenaan.
@barneyyy_89 lain mcm fly tu #sambutanharikemerdekaanke67#kualalipispahang #🇲🇾🇲🇾🇲🇾💯👌🌹🇲🇾🇲🇾
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok geli hati dan pecah perut melihat tema kreatif yang dibawa oleh anggota-anggota berkenaan.
“Senang tugas abang tu, baring atas motor saja,” komen seorang wargamaya.
“Ini fly dari malam bawa hingga pagi ke ni? Hahahaha,” komen seorang lagi wargamaya.
Ramai juga berpendapat sekiranya tema sekatan jalan raya ini dibawa di perarakan di Dataran Putrajaya, ia pasti menjadi tumpuan utama untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Apa pun, memang boleh dikatakan persembahan-persembahan perarakan pada tahun ini memang mengujakan belaka. Deretan video perarakan dimuat naik di media sosial dan menjadi trending sehingga ke saat ini.
Tahniah kepada semua yang terlibat dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 kali ini.