RM50,000 sebulan untuk penasihat agama Ismail Sabri

RM50,000 sebulan untuk penasihat agama Ismail Sabri

 

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menyifatkan Ismail Sabri Yaakob mempunyai keutamaan yang salah susulan pengumuman pelantikan Pengerusi Umno Kedah Jamil Khir Baharom sebagai penasihat kepada perdana menteri.

Terdahulu, Ismail dilaporkan mempunyai tiga penasihat – bagi kesihatan, agama serta hak asasi manusia dan undang-undang – dengan setiapnya menelan belanja RM50,000 sebulan, termasuk untuk kakitangan.

“Mengapa perdana menteri perlu lantik tiga penasihat ketika sudah ada menteri yang menasihatinya dalam soal agama, kesihatan serta hak asasi dan undang-undang?

“Adakah Ismail tidak yakin menteri kabinetnya dapat memberi maklum balas yang diperlukan, atau mereka dilihat tidak cekap?

“Jika mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka, sekurang-kurangnya mereka ada pegawai yang boleh dipanggil untuk menasihati perdana menteri. Kecuali, tentunya, Ismail Sabri tidak lagi percaya sesiapa dalam kabinetnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim membangkitkan yang Ismail Sabri baru saja melantik Naib Presiden PAS Idris Ahmad sebagai menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama) kira-kira tiga bulan lalu.

Jika Ismail merasakan tidak yakin dengan Idris, katanya lagi, dia sepatutnya menggantikannya dengan Jamil.

“Perdana menteri dan Idris perlu memberi penjelasan kerana ia melibatkan banyak wang pembayar cukai setiap bulan hanya untuk mengekalkan dua jawatan utama, terutama di saat rakyat bergelut menyara kehidupan,” katanya lagi.

‘Negara berdepan inflasi’

Ahli parlimen DAP itu berkata lagi, negara kini berdepan antara krisis ekonomi terburuk akibat wabak Covid-19 dan juga inflasi.

“Sementara Covid-19 adalah isu kesihatan global, punca utama inflasi adalah isu domestik yang perlu ditangani segera oleh Ismail Sabri, berbanding melantik orang sewenang-wenangnya sebagai penasihat.”

Dia juga berkata Ismail Sabri sepatutnya menggantikan tiga penasihat itu dengan pasukan penasihat ekonomi yang layak bagi membantu kerajaan mengembalikan negara ke landasan yang betul.

Walaupun Ismail dilaporkan memiliki tiga penasihat, pada masa ini hanya Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said yang diketahui menjadi penasihat dalam soal undang-undang dan hak asasi manusia.

Semalam, poster ucapan tahniah atas pelantikan Jamil Khir disiarkan di laman Facebook Umno Kedah dan dikongsi beberapa pemimpin parti negeri termasuk ketua bahagian Sungai Petani Shahanim Mohamad Yusoff dan bekas ahli parlimen Langkawi Nawawi Ahmad.

Identiti penasihat untuk kesihatan pula masih tidak diketahui.