RM500 untuk penjaja kecil

RM500 untuk penjaja kecil

Kerajaan Perak akan memberikan bantuan sekali bayar sebanyak RM500 kepada 9,381 peniaga dan penjaja kecil bagi meringankan beban mereka susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di negeri itu sehingga 6 Dis ini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata bantuan itu yang diluluskan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Fasa Keempat (PRE Fasa 4) akan dibayar bulan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4.7 juta.

“Ini adalah bantuan sekali bayar kali kedua kepada para peniaga dan penjaja kecil selepas kerajaan negeri menyalurkan bantuan tunai RM500 dalam PRE Fasa 2 sebelum ini.

“Melalui PRE Fasa 4 ini, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak lebih RM9 juta bagi tujuan meringankan beban peniaga dan penjaja kecil serta para usahawan mikro di Perak,” katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri juga memberi pengecualian sewaan gerai makan milik 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Perak untuk bulan ini yang memberi manfaat kepada 10,335 peniaga dan penjaja kecil dengan peruntukan sebanyak RM1.63 juta.

Katanya, bagi membantu lebih ramai usahawan mikro yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19, kerajaan negeri juga bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM2.7 juta untuk Geran Prihatin Usahawan Perak (GeRUP).

“Sebelum ini, di bawah PRE Fasa 2, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membantu para usahawan mikro supaya terus kekal berdaya saing,” katanya.

Sebanyak 16 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Perak semalam, menjadikan jumlah kes semasa bagi tempoh 5 hingga 18 Nov sebanyak 420 kes.

Sumber: Malaysiakini