Risau nak makan kangkung tumbuh dalam parit, takut jumpa lintah! Ini cara mudah taman sendiri kangkung di rumah

Risau nak makan kangkung tumbuh dalam parit, takut jumpa lintah! Ini cara mudah taman sendiri kangkung di rumah

 

Orang Malaysia kebanyakannya gemar makan sayuran kangkung apatah lagi sekiranya dimasak tumis belacan dengan ikan masin.

Namun, timbul rasa keraguan dalam kalangan kita untuk makan sayuran yang dibeli di pasar lebih-lebih lagi jenis kangkung liar yang hidup menjalar di kawasan parit atau paya.

Sudah tentu tahap kebersihan kangkung itu dikhuatiri kerana batangnya yang berongga berkemungkinan ‘dihuni’ ulat atau telur lintah.

Bagi mengelakkan perkara itu, kita boleh menanam sendiri kangkung di rumah dengan kaedah diajarkan oleh seorang pelayar di Facebook menggunakan akaun Tip Tanam Pokok.

Biji kangkung perlu direndam terlebih dahulu.

Bahan-bahan diperlukan

1. Baldi

2. Penapis

3. Biji benih kangkung

Cara-cara penyediaan

1. Rendamkan biji benih kangkung menggunakan air biasa semalaman atau lebih.

2. Apabila biji benih mula nampak mengembang atau keluarkan akar, masukkan ke dalam penapis disediakan.

3. Pastikan penapis yang diguna pakai mempunyai lubang kecil bagi mengelakkan biji kangkung jatuh ke bawah.

4. Masukkan biji benih yang mempunyai akar ke dalam lubang penapis supaya boleh mencapai air.

5. Letakkan penapis di bahagian ‘mulut’ baldi yang diisi dengan air sebanyak tiga per empat baldi.

6. Tutup penapis yang berisi anak benih selama lebih kurang dua hingga tiga hari bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan lebih cepat dan panjang.

Air dibiarkan bertakung untuk pertumbuhan pokok.

Anak kangkung yang sudah kelihatan bercambah daripada biji perlu diletakkan di ruangan yang terdedah pada matahari.

Bagaimanapun, air takungan tidak perlu ditukar sebaliknya tambahkan baja pokok untuk menggalakkan lagi pertumbuhan.

Kangkung yang sudah dewasa boleh dipetik atau dituai.

Pastinya hasil diperoleh lebih bersih berbanding kangkung yang tumbuh liar di paya.