Rindu Abby Abadi terubat, Marissa Dania datang buat kejutan

Rindu Abby Abadi terubat, Marissa Dania datang buat kejutan

 

Rindu Abby Abadi terubat apabila menerima kejutan dengan kehadiran anaknya, Marissa Dania yang turut hadir semasa meraikan sambutan ulang tahun kelahiran anak ketiganya, Maria Danisha Hakim.

Menurut Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, dia terkejut apabila melihat anak perempuannya itu turut hadir meraikan majlis adiknya setelah sekian lama mereka tidak bertemu.

Menerusi hantaran di Instagram, aktres berusia 46 tahun itu dilihat bersama anak ketiganya, Maria Danisha sebelum didatangi Marissa.

Abby berkata, niat asalnya mahu membuat kejutan kepada Maria Danisha, namun sebaliknya dia menerima kejutan.

Pada masa sama, Abby turut menasihati Marissa agar sentiasa meluangkan masa bertemu dengan ahli keluarga yang lain.

“Nak terkejutkan baby @m_danishaa, Mama yang terkejut sebab ada @marissadania. Abang @danishhakimofficial memang selalu ada je di mana-mana. Siapa yang bagitahu ada majlis ni? Papa ke Mummy?

“Lama tak jumpaaaa anak Mama yang sorang ni. Rindu!!! rindu sangat-sangat. Terima kasih datang semalam raikan baby. Datang selalu okey. Daiyan, Dayana, Darda semua rindu dan sayang adik sangat-sangat! Tak berkurang walau sikitpun,” coretnya di Instagram.

Difahamkan, Abby sekeluarga membuat kejutan sambutan hari lahir buat anaknya Maria dan dalam majlis itu turut dihadiri oleh bekas suaminya, Norman Hakim bersama isteri, Memey Suhaiza, semalam.

Terdahulu Abby memberitahu dia tidak dimaklumkan mengenai berita Marissa keguguran anak pertama ketika kandungannya berusia enam bulan.

Sebelum ini, pelakon ‘Gerak Khas’ meluahkan rasa rindu terhadap anak perempuannya yang kini bergelar isteri kepada Ahmad Aslam.

Untuk rekod, Abby pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Norman Hakim pada 2002 namun berpisah pada 2009.

Hasil perkahwinan itu, pasangan selebriti ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 21, Marissa Dania Hakim, 19, dan Maria Danisha Hakim, 16 tahun.

Abby kemudiannya berkahwin dengan  Muhammad Faizal Zakaria pada Ogos 2015 dan dikurniakan seorang anak yang dilahirkan secara pra-matang namun meninggal dunia selepas 70 hari menerima rawatan.

Norman pula berkahwin kali kedua dengan pelakon Memey Suhaiza pada September 2011 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.