Rina Harun dikecam lagi selepas video melawat Bella di hospital, ditemani wartawan & jurugambar tular

Rina Harun dikecam lagi selepas video melawat Bella di hospital, ditemani wartawan & jurugambar tular

 

Rina Harun dikecam selepas melawat seorang remaja Sindrom Down dalam kes dera, Bella, bersama media baru-baru ini, dengan aktivis mendakwa menteri pembangunan wanita, keluarga, dan masyarakat itu “mencari publisiti”.

Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin, berkata menteri itu hanya melibatkan diri selepas kes penderaan remaja 13 tahun itu menarik perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

“Saya tidak tahu apa motifnya, tetapi pastinya nampak seperti berlumba-lumba untuk menunjukkan bahawa beliau melakukan sesuatu dalam kes penderaan Bella,” katanya di Twitter.

Hartini berkata Rina telah hilang kebolehpercayaan sebagai seorang menteri yang menjaga kebajikan kanak-kanak rentan kerana langkah itu dilihat “kurang ikhlas” dan “hipokrit”, dan meminta beliau “berhenti bergambar”.

Katanya, Rina “tidak sensitif dan tidak tahu mengenai perlindungan kanak-kanak”.

Rina menjadi sasaran kritikan orang ramai yang menonton video oleh Sinar Harian memaparkan menteri itu melawat Bella di sebuah hospital, ditemani wartawan dan jurugambar.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes Bella, anak angkat di sebuah rumah kebajikan, Rumah Bonda.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Rina mengalu-alukan tawaran Tunku Ismail itu dan berkata beliau akan memberi taklimat kepada TMJ mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kementerian berhubung perbicaraan itu.

“Kes Bella menjadi tumpuan sejak Julai 2021, sudah sembilan bulan. Apa yang kamu buat ketika itu?” kata seorang warganet.

“Ia bukan hanya Bella, adakah kamu faham? Kamu mempunyai kuasa untuk memastikan kanak-kanak selamat, adakah kamu melakukan apa-apa?” kata seorang lagi pengguna.

“Hentikan photo ops (sesi bergambar) @RinaMohdHarun. Ini bukan mengenai anda mendokumentasikan bukti bahawa anda mengambil berat atau anda membuat tindakan kepada ‘buat kerja’ (dilihat bekerja). Tidak sensitif dan ‘tidak tahu’ tentang perlindungan kanak-kanak,” kata pengguna Twitter Tina Z.

“Bella tu belum lagi bersedia nak jumpa orang luar, datang bawak wartawan, jurugambar dan jurukamera bagai. Takut la budak tu,” tulis pengguna Twitter @wahidahu55ain.

“Ini adalah salah dari segi etika, moral dan profesional,” kata seorang lagi pengguna Twitter, Munirah Mazlan.